
Muhammad Nur Hadi Bin Aziz
Sekolah Menengah Tanjong Katong
Juara Cerpen Kategori 'A' Bisikan Pena 2021

Dahinya berkerut. Genggaman tangannya semakin erat mengelilingi hulu parangnya. Dadanya meruap-ruap bagai disiram api. Orang-orang asing itu datang kembali ke kawasan ini. Namun, kini, mereka hanya menebang beberapa batang pokok dan kali ini tidak bersenapang. Pa’tua dapat mengecam manusia yang bertopi koboi itu. Dalam sekelip mata sahaja, peristiwa berdarah yang berlaku tempoh hari kembali menerjah ingatannya. Jauh di hati kecilnya, terdapat kemahuan untuk membunuh kesemua pendatang asing itu. Namun, setiap kali dia selangkah mendekati mereka, hatinya goyah. Perasaan itu merajai keinginannya untuk membalas dendam. Tanpa berlengah lagi, Pa’tua terus menuju pulang ke teratak buruknya yang agak ke dalam kawasan belantara itu.
​
Muram hatinya melihat keadaan sungai di sepanjang perjalanannya itu. Dahulukala, air itu murni sungguh. Murni sehinggakan batu-batu kerikil dalam sungai tersebut boleh kelihatan. Kini, satu-satunya sumber air minuman penduduk belantara itu sudah dicemari hakisan tanah. Pa’tua menyumpah-nyumpah dalam hatinya. Amarahnya itu disebabkan kecelakaan yang dibawa oleh orang-orang asing itu. Kendatipun begitu, Pa’tua menyedari juga selama perkara itu berlaku, dia tidak pernah berbuat apa-apa untuk membersihkan sungai itu. Sampah-sarap yang terapung-apung atas permukaan sungai itu juga tidak terkutip.
“Engkau tahukan, Pak Lang dibunuh oleh manusia-manusia itu?” Poniran mula membuka cerita mengenai Pak Lang.
​
Kemat hanya menunduk perlahan mendengar kata-kata Poniran. Mereka sedang beristirahat di atas sebuah pondok kayu yang sudah hampir rapuh. Poniran baru pulang mencari kayu api manakala Kemat pula baru pulang mencari daun sirih.
​
“Pa’tua itu ketua kita kan? Kenapa dia tidak pernah cuba mengusir manusia-manusia itu?” ujar Kemat dan sejurus itu mengeluh kesah.
​
“Dia itu macam tidak kisah. Pokok-pokok di hujung sana habis dipotong. Pa’tua ingin tunggu mereka potong pokok di kawasan kita, baru dia mahu usir mereka?” Poniran menyambung dengan penuh kekecewaan.
​
Poniran dan Kemat saling meluahkan pendapat. Mereka kesal belaka dengan pendatang asing yang cuba memusnahkan tempat tinggal mereka. Manusia-manusia itu sudah semakin kerap mendatangi hutan itu dan menebang pokok-pokok. Bukan itu sahaja, mereka juga telah membunuh Pak Lang, teman Pa’tua. Nyawanya ditamatkan sedas tembakan senapang apabila dia cuba menyerang mereka.
​
Sedang Poniran dan Kemat sibuk bersembang, Rangga tiba dan mengucapkan sejahtera kepada mereka. Rangga seorang pemuda yang tegap badannya. Kerjanya setiap hari ialah menangkap ikan dalam sungai itu.
​
“Pak Pong sama Pak Kemat, janganlah kita asyik menyalahkan Pak Tua. Pasti Pak Tua masih berasa takut sejak Pak Lang dibunuh oleh manusia itu. Kita harus bantu Pak Tua mengusir manusia itu”, ucap Rangga kepada dua orang tua itu.
​
***
​
Pa’tua sibuk mengapak kayu api di halaman pondoknya. Dia menghayun kapaknya itu sekuat hati sehingga ia menembusi tanah gersang. Dia menarik semula kapaknya yang tersangkut dalam tanah dan menghayun lagi ke arah kayu api itu. Perbuatan itu seolah-olah untuk melepaskan segala perasaan geram dan dendam yang terkubur dalam sanubarinya. Manik-manik keringat mula membasahi muka dan seluruh tubuh badannya. Sedang dia menyusun kayu-kayu yang telah dipotong, Rangga kelihatan kelam-kabut meluru ke arahnya.
​
“Kenapa Rangga?” soal Pa’tua.
​
“Ji..Jingga pak..sama A…Astira, mereka ditembak Pak! Saya Nampak mereka dibawa masuk ke dalam kendera mereka mereka Pak,” Rangga tercungap-cungap mengkhabarkan perkara itu kepada Pa’tua.
​
Mulut Pa’tua terlopong sedikit. Wajahnya berkerut. Jantungnya bagai telah direntap kasar tatkala kata-kata Rangga itu menyinggah gegendang telinganya. Dia terkilan. Dia berjalan perlahan-perlahan menuju ke tetangga pondoknya dan melabuhkan punggungnya ke atas sepapan anak tangga dan kedua-dua kakinya memijak sepapan lagi anak tangga. Tangannya menyiku pahanya. Dagunya ditongkat lengannya. Pandangannya jauh dilemparkan ke arah barisan pokok Meranti di hadapan pondoknya itu. Melihat kelakuan Pa’tua, Rangga langsung meminta diri.
​
Kegelisahan mula menyelubungi dirinya. Fikirnya, kalau dia tidak bertindak, lebih ramai penghuni hutan itu akan terkorban. Minda Pa’tua gegak gempita dengan suara-suara hasutan.
​
‘Adakah aku takut mati’
​
Sedang Pa’tua bermuhasabah, Poniran muncul di halaman rumahnya. Mata Poniran hanya merenung Pa’tua yang tidak senang. Kata-kata Rangga tempoh hari terngiang-ngiang dalam kepala otaknya. Benar kata-katanya itu. Masakan mereka hidup dengan aman jikalau dia sendiri tidak mahu memberikan pertolongan.
​
“Pa’tua…Janganlah kau meratap terlalu lama. Orang kampung mengharapkan kau untuk kembalikan keamanan tempat ini”, lembut nian Poniran menegur Pa’tua. Pa’tua masih lagi terdiam. Dia langsung tidak memalingkan pandangannya.
​
“Marilah kita sama-sama mengusir manusia itu. Selagi mereka masih di sini. Kau mahukah orang macam kita ani pupus. Kau mahukah lihat rumah orang-orang kita hancur. Pak Lang, Jingga, Astira… Harimau kita ani habis dibunuh! Kau sendiri lihatkan Pak Lang dibunuh haritu!”
​
Poniran menghamburkan segala isi hatinya. Tergamam Pa’tua dibuatnya sehinggakan kepalanya terangkat dan pandangannya menghala ke Poniran. Mata mereka sering berlaga. Melihat sahaja Pa’tua yang masih tidak beranjak daripada kedudukannya, Poniran terus beredar. Dia sendiri yang akan berdepan dengan manusia-manusia asing itu dengan Kemat. Minda Pa’tua masih lagi berselirat mempertimbangkan keputusannya. Meskipun begitu, dia mempercayai akan kebenaran kata-kata Poniran. Dia harus menebus kembali kesilapan lamanya itu. Pa’tua bangkit daripada kedudukan dan bersiap sedia.
​
Poniran dan Kemat menyerang orang-orang luar itu. Mereka saling bertumbuk. Apabila salah seorang daripada mereka mengacukan senapang, Poniran dengan segera menarik parangnya yang tersisip di pinggangnya dan menepis muncung senapang itu. Dia menghayunkan parangnya ke perut orang asing itu sehingga terkoyak bajunya dan meninggalkan segaris luka yang panjang. Kemat tidak bersenjata namun dia cekap mengelak pukulan dan tendangan.
​
“Pang”
​
Keriuhan itu diredakan dengan suatu bunyi hentakan. Terlihat sebilah parang tersangkut pada pintu besi kereta orang-orang asing itu. Mereka agak terperanjat dengan bunyi lemparan yang kuat itu. Sejenak kemudian, kedengaran semak belukar diredah. Mereka memerhatikan kawasan semak itu dan menanti gerangan di sebalik semak itu.
​
Pa’tua keluar dari semak itu. Kehadirannya di situ, membawa dirinya yang lebih berani. Tangan kanannya erat memegang sebilah pedang. Sejurus kemudian, dia mengacu pedang tersebut ke arah orang-orang luar itu.
​
“Wahai orang-orang kamu! Dengarlah kataku ini. Berhentilah memusnahkan rumah kami semua. Cukuplah dengan kebobrokan sebelum ini. Cukuplah kau semua membunuh harimau-harimau kami!” Pa’tua mengherdik kasar.
​
Manusia-manusia pendatang itu semua mulai gerun melihat Pa’tua menghalakan pedangnya yang runcing itu. Poniran juga berbuat yang sama dengan parangnya. Manakala Kemat pula hanya berdiri kaku tetapi tetap bersiaga. Manusia-manusia pendatang itu mulai resah dan gerun melihat gerak-geri orang-orang asli itu. Tanpa berlengah lagi, mereka terus berpusu-pusu memasuki kereta Hylux mereka. Tidak lama kemudian, kenderaan pacuan empat roda itu lesap daripada pandangan orang asli itu.
​
***
Sebulan sudah berlalu tanpa kedatangan orang-orang asing. Penduduk hutan itu bersyukur akan tindakan Pa’tua. Dia akhirnya telah kembalikan kedamaian hutan belantara itu. Namun, Pa’tua sering mengatakan bahawa keberaniannya itu disebabkan asakan Poniran dan juga Kemat. Dia sedari, tika keadaan menjadi gawat, dia harus memaksa dirinya untuk mencuba sesuatu ikhtiar. Sememangnya, nasibnya itu tidak dapat diramal. Sungguhpun hakikatnya begitu, Pa’tua lebih rela berputih tulang daripada berputih mata.