
Juara Cerpen Kategori 'A' Bisikan Pena 2022
Akan Bahagiakah Aku Selamanya?
​
Malang tidak berbau, kita tidak dapat menentukan masa hadapan kita. Ada kalanya hidup kita senang, dan ada kalanya susah. Salahkah kita sediakan payung sebelum hujan? Akankah kita tenggelam dalam kegelapan?
​
Engkau meninggalkan aku tanpa mengetahui betapa sakitnya hatiku. Pada tarikh ini, 28 Februari, sudah satu tahun engkau pergi. Aku teringin untuk berjumpa denganmu. Sayangku padamu tiada batasnya. Tidak kusangka engkau akan meninggalkan diriku begini. Right person wrong time I guess…
​
*****
​
Aroma di kafé itu adalah seperti aroma vanilla yang harum. Pada petang itu, aku dan kawan aku, CJ bertemu kerana kami sudah lebih dua tahun tidak berjumpa kerana kami masing-masing sibuk dengan pekerjaan sendiri. Aku dan CJ berbual berjam-jam untuk melepaskan rindu. Beberapa minit kemudian, aku mengambil telefon untuk menunjuk CJ gambar semasa aku bercuti di Venice pada tahun lepas. Tiba-tiba, CJ ternampak album gambar-gambarku bersama kekasih lama aku. Muhd Aqil.
​
“Sudah-sudahlah tu dengan Aqil. Engkau move on lah Dee sudah dua tahun pun.” Suara CJ berbunyi di belakangku. CJ ingat tentang Aqil? Aku tidak menyangka bahawa CJ akan ingat tentang Aqil.
​
“Senanglah engkau cakap, CJ. Hati aku yang hancur bukan engkau yang rasa,” balas aku seloroh.
​
*****
​
Aku bertemu dengan Aqil di sebuah kursus sastera semasa kuliah kami membincangkan ‘Shakespeare’. Macam cliche’ pula. Aqil ialah seorang lelaki yang bersopan santun dan beradab. Perkara itu yang membuatkan aku tertarik kepadanya. Kami mula berbual tentang buku kegemaran kami dan selepas setahun kami berkenalan, kami bercadang untuk bertunang. Aqil mempunyai ciri-ciri yang sangat menakjubkan dan dia disukai oleh ramai rakan-rakannya. Aku begitu teruja kami akhirnya ingin melanjutkan hubungan kami ke jinjang pelaminan.
​
Namun, kusangka nanas atas permatang, rupanya durian tajam berduri, kusangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Kebahagiaan kami tidak berkekalan. Kebahagiaanku hancur begitu sahaja ibarat kaca yang dihempas ke lantai dek malang yang datang tanpa berbau.
​
Tiga minggu selepas kami bertunang, Aqil ditimpa kemalangan sewaktu hendak menolong seorang budak yang cedera di tengah jalan. Aqil dilanggar sebuah lori dan dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Pada ketika itu, aku tidak pernah rasa begitu sedih. Aku bukan saja kehilangan tunangku tapi aku kehilangan kawan baikku, sahabatku yang selalu di sisiku dalam apa jua keadaan. Aku berasa sungguh sedih dan keseorangan.
​
Kebahagiaanku rupanya ada naik dan turunnya, tidak kekal sepanjang masa. Aku begitu bahagia dengan Aqil. Dialah senyumku, tawaku, tangisan riaku dan penyejuk hatiku. Namun, apakan daya, Yang Esa lebih mengasihinya.
​
Selama dua bulan aku dibaluti duka yang mendalam. Aku tidak bermaya untuk membuat apa-apa pun. Aku tidak bercakap dengan kawan-kawanku termasuk CJ. Aku mengasingkan diri daripada ramai kawan-kawanku. Setelah sekian lama, barulah aku menguatkan semangat untuk kembali bekerja.
​
Di tempat kerja, aku menyibukkan diri dengan pelbagai tugas. Hari berganti hari. Minggu berganti bulan. Bulan berganti tahun. Aku menemui kebahagiaan.
​
Memang betul kata orang, kita tidak akan selamanya bahagia dan tidak selamanya dirundung duka. Bahagia dan duka bukan selamanya. Kehidupan kita ada senangnya dan ada susahnya. Bak kata pepatah, air pun ada pasang surutnya.
​
Selepas tiga tahun, aku kini bertunang dengan rakan sekerjaku. Bahagia yang kutemui dalam diri insan bergelar Zaki.