top of page

Juara Cerpen Kategori 'B' Bisikan Pena 2022

RENGSA

 

“Awak yakin, awak boleh melihat peristiwa itu kembali?” soal  Dr Zamri.

 

Natasha hanya mengangguk perlahan, masih kurang pasti. Sedari tadi, dia tidak memalingkan wajahnya ke arah Dr Zamri, doktor psikiatri yang merawat Natasha. Sejenak kemudian, kesunyian dalam ruang itu mula menjadi bingit. 

 

“Baiklah, saya nak tengok apa yang awak akan buat,” sambung Dr Zamri.

 

Natasha menarik nafas panjang. Sambil dadanya terangkat sedikit, tangan kanannya perlahan-lahan diangkat. Tangannya itu tidak henti-henti bergetar. Pada masa yang sama, wajah Natasha juga terangkat untuk melihat di mana tangannya itu akan diletakkan. Nadira, adik kembarnya, sedang duduk di hadapannya. Kedua-dua belah kakinya bertemu rapat dan tangannya diletakan pada ribanya. Wajah Nadira yang mirip Natasha tidak menampakkan sebarang perasaan pada kala tangan Natasha sedang menghampirinya. Sedetik kemudian tapak tangan kanan Natasha mendarat di atas kepala Nadira. Pada saat itu, Natasha merasakan seolah-olah terdapat suatu tenaga yang mengalir ke dalam jasadnya. Dengan serta-merta, kepala Natasha mendongak langsung ke belakang. Badannya juga kelihatan seperti diragut dari belakang. Bahunya terangkat namun tangan kanannya tidak terlepas dari kepala Nadira. Namun beberapa detik kemudian, Natasha terlepas dari ragutan itu. Dia kembali seperti biasa. Namun, dia mula tercungap-cungap. Setiap tarikan nafasnya itu diikuti dengan rengekan yang semakin lama semakin kuat. 

 

Dr Zamri bingung. Sejak pagi tadi, dia berasa hairan mendengar kata-kata Natasha. Kata Natasha, dia boleh melihat semula peristiwa sewaktu rumahnya dirompak. Dia juga berkata yang dia boleh melihat gerangan yang telah membuat onar dalam rumahnya pada waktu itu. Dr Zamri terkedu mendengar curahan hati Natasha tetapi tidak sukar baginya untuk mempercayainya. Dia beredar dari situ untuk memberi ruang kepada Natasha. Dia bersimpati tetapi tidak memahami sepenuhnya ranjau onak yang telah Natasha lalui.

 

Natasha termenung buat seketika setelah Dr Zamri lesap dari pandangannya. Dia berasa tidak berdaya. Dia hanya berpegangan tangan dengan Nadira dengan erat. 

 

"Kakak jangan stres sangat. Nanti jadi gila," seloroh Nadira. Natasha tersenyum. Dia mencubit lemah lengan adiknya itu. 

 

Setelah mindanya menjadi lapang sedikit, dia berhasrat untuk mencuba lagi; menerawang minda Nadira. Dengan hati yang masih tidak pasti, Natasha berkeras menyentuh sepertiga kepala Nadira. Maka, bermulalah pembacaan memori. Natasha merasakan seperti dia akan lebih jauh tiba di destinasinya. Tiba-tiba, pandangannya menjadi kelam. Jantungnya semakin rancak berpalpitasi. Natasha hilang kawalan tetapi anggota badannya kaku. Dia masih dapat melihat Nadira dalam kegelapan itu. Nadira juga membeku. Tidak ada satu pergerakan daripadanya. Natasha memegang erat tangan Nadira. Tidak lama kemudian, Natasha dikendera ke suatu tempat yang tidak asing baginya. Akan tetapi, dia tidak dapat menafsirkan di mana dia berada. Mungkinkah itu hanya deja vu? Hanya citra yang tidak maujud, rona-rona gelita dan ruang-waktu yang samar-samar yang dialaminya. Seolah-olah dia bermimpi. 

 

***

 

“Bagaimana Zam, ada apa-apa perkembangan?” soal Inspektor Azri.

 

“Dia masih tak stabil lagi. Cuma tadi, dia kata dia boleh nampak siapa yang ada di rumahnya pada hari itu,” ujar Zamri.

 

“Dia telah hilang ingatan. Tetapi mungkin ada perkara yang trigger dia untuk ingat semula,” sambung Zamri. 

 

“Amnesia?”

 

“Dissociative amnesia, mungkin”

 

Inspektor Azri terkedu. Dahinya berkerut mendengar kata-kata Zamri. Pada masa yang sama, tangan kirinya ligat menulis segala keterangan yang diberikan oleh Zamri yang merupakan teman rapatnya. Dia sedang menyiasat satu kes rompakan bersenjata yang berlaku enam bulan yang lalu. Pesalah masih belum dikenalpasti. Segala perincian masih kabur. Namun tatkala mendengar apa yang disebutkan Zamri, sinar harapan mengerlip di matanya. 

 

“Mari aku bawa kau jumpa dia,” jemput Zamri.

 

Inspektor Azri membuntuti Zamri ke tempat Natasha berada. Dalam perjalanan, dia memikirkan beberapa soalan yang akan ditanya kepada Natasha sebentar lagi. Dia berharap dapat meraih beberapa petunjuk agar kes tersebut selangkah lebih dekat menuju penyelesaian. 

 

Inspektor Azri berasa hairan melihat kelakuan Natasha. Dia belum dapat mencari makna apa yang sedang dia laksanakan. Barangkali itulah seperti yang dikatakan oleh Zamri. Natasha sedang mengaut semula memorinya. Namun demikian, dalam beberapa detik, perbuatan Natasha itu terhenti. Dengan serta-merta, Natasha rebah ke lantai. Zamri dan Inspektor Azri cepat-cepat mendekatinya dan mengangkatnya. Mereka membaringkan Natasha di atas katilnya. 

 

“Entahlah Azri, aku sendiri tak pasti betul atau tidak apa yang dia cakap,” kata Zamri.

 

“Tak apalah, kalau ada apa-apa lagi perkembangan, telefon aku,” balas Inspektor Azri.

 

Zamri mengangguk-angguk lalu bersalaman dengan Inspektor Azri. Inspektor Azri beredar dari situ.  Zamri masih khuatir memikirkan keadaan Natasha. 

 

***

 

Awan pada kala itu tidak ceria. Kilat sabung-menyabung di bumi kerdil. Hujan turun dengan selebat-lebatnya. Natasha hanya melemparkan menungannya ke luar jendela. Dia keseorangan dalam biliknya sedang menikmati pemandangan indah. Tiba-tiba terdengar jeritan yang nyaring. Bahunya terangkat sedikit tatkala terdengar jeritan tersebut. Natasha yakin itu jeritan adiknya Nadira. Dengan hati yang penuh khuatir, Natasha pun menuju ke bilik Nadira. 

 

Sesampainya dia di muka pintu, kelihatan seseorang yang berpakaian serba hitam yang membelakanginya dalam bilik Nadira. Dia memakai topeng justeru tidak menampakkan walau sehelai rambutnya. Dia sedang menikam perut adiknya. Natasha cuba menyerangnya. Natasha memberikan satu tendangan ke arah dada penceroboh itu. Natasha menarik topeng penceroboh itu. 

 

“Cik Haslam!” Natasha terkejut. Pada saat itu, Natasha terasa seperti  diseksa dek suatu pengkhianatan. Dia masih tidak mempercayai apa yang dilihatnya itu. Pakciknya sanggup menganiayai saudaranya sendiri.

 

Dengan sepantas kilat, Haslam memecut keluar dari rumah itu. Natasha menangis melihat keadaan adiknya yang mengerang kesakitan. Tiba-tiba kepalanya menjadi ringan. Natasha terus pitam. 

 

***

 

Natasha bangkit dari mimpinya. Dia melihat Zamri. Namun dia berasa lain macam. Seolah-olah terdapat suatu hubungan antara mereka. Nadira berada di hujung katilnya sedang mengurut-urut kakinya. Wajahnya mencerminkan kecemasan.

 

“Abang…” ucap Natasha dengan nada mendayu.

 

“Natasha…”

 

Rahang Natasha menggeletar. Sejenak kemudian, kemarahan tiba-tiba meruap di dadanya.  Matanya mengecil. Dahinya memperlihatkan garis-garis kerut. Nafas yang ditarik dan dihembus masih berat. Dadanya mula berombak-ombak. Natasha sudah mengingati semula peristiwa itu dengan penuh jelas. Wajah Haslam berlegar-legar dalam kepala otaknya. Namun pada waktu itu dia berasa berang terhadap abangnya. 

 

“Ini semua salah abang. Kalau abang ada di rumah hari itu, saya dan Nadira tak akan…” Natasha mengherdik Zamri. Walau bagaimanapun, tutur katanya terhenti. Pada tika itu, kesedaran mula menjengah fikirannya.

 

Natasha menoleh ke kiri kanannya. Dia tidak melihat orang yang sedang carinya. Di dalam bilik itu hanya ada dia dan Zamri. Natasha tidak melihat kelibat Nadira. Dia hanya mahukan kepastian. 

 

“Nadira dah meninggal enam bulan yang lalu,” kata Zamri dengan penuh melankoli.

 

Natasha dengan serta-merta dihambat pilu. Dia terduduk. Hatinya meraung dan melalak namun dia masih terdiam. Otaknya ibarat sudah semakin sempit untuk menafsirkan perasaannya itu. Natasha termenung sahaja. Dia sudah mula ingat kembali. Fragmen-fragmen tragedi itu memenuhi mindanya. Peristiwa itu penuh berdarah. Gambaran pada kala itu lama-kelamaan semakin berwarna-warni dalam fikiran Natasha. Matanya pula berkaca. Detik demi detik, air mata mula memenuhi perigi matanya lalu mengalir keluar dengan deras. 

 

“Haslam yang bunuh dia,” ucap Natasha sambil teresak-esak.

 

“Tasha nak pergi cari dia,” sambungnya lalu terus bangkit dari kedudukannya. Natasha cuba keluar dari bilik itu tetapi dihalang oleh Zamri. 

 

Natasha cuba menolak Zamri. Namun Zamri lebih kuat menahannya. Dia cuba mengatakan sesuatu tetapi gagal kerana teriakan Natasha bermaharajalela. Pada kala itu, tiba seorang doktor ke dalam bilik itu.  

 

“Natasha, bawa bertenang,” ucap Dr. Rahimah.

 

“Dr Zamri, dia nak ke mana?” soal Dr Rahimah yang sedang membantunya menenangkan Natasha. 

 

Zamri tidak berdaya untuk menjawab. Natasha juga menjadi semakin lemah jasmani dan rohaninya. Dia terus melalak sambil meletakkan kepalanya ke dada abangnya. Zamri memeluk erat satu-satunya adiknya itu yang masih tinggal. Tangannya menepuk-nepuk belakang Natasha. Dr Rahimah yang melihat keriuhan itu semakin reda terus keluar dari bilik pesakit itu.

 

“Tasha nak cari Haslam,” ucap Natasha.

 

“Tasha masih tak stabil lagi untuk keluar. Kalau iya pun biarlah pihak polis yang selesaikan,” tegah Zamri.

 

“Dia mesti bayar untuk apa yang dia lakukan. Sekarang abang dah tahu bukan, siapa yang bunuh Nadira. Bukankah selama ini abang sibuk dengan Inspektor Azri mahu cari si celaka itu?”

 

Selama enam bulan itu, Natasha dihempap ketidakpastian. Dia tersesat dalam dirinya sendiri. Namun kini dia telah melihat cahaya harapan yang kembali menyinar. Lantas, dia terburu-buru mahu menegakkan keadilan.

 

Kesunyian mula membingitkan bilik itu. Zamri seolah-olah sudah lelah melayani adiknya. Namun fikirnya, Natasha lambat-laun akan mengetahui hal yang sebenar. 

 

“Tapi Haslam dah mati,” ujar Zamri diikuti tarikan nafas berat.

 

Hati Natasha menjadi gelisah tatkala kata-kata abangnya itu mehinggapi gegendang telinganya. Dia seakan-akan tidak percaya akan tutur kata abangnya. Fikirannya dipanahi seribu satu tanda tanya. Dahinya berkerut seribu. Dia dibelenggu perasaan terkejut tetapi agak berlapang dada.

 

“Bila?” soal Natasha.

 

“Abang tak pasti.”

 

“Macam mana dia boleh mati?”

 

Ruang itu lengang kembali. Hanya hembusan pendingin hawa kedengaran. Jikalau sehelai rambut jatuh ke lantai pasti didengari. 

 

“Bukankah sepatutnya Tasha lebih tahu?” Zamri mempertikai.

 

Natasha menjadi keliru. 

 

“Apa maksud abang?”

     

***

 

Natasha meluru keluar dari bangunan IMH itu. Perjalanannya itu didorong segenggam dendam. Akalnya telah dirasuk. Dia mahu melaksanakan pembalasan pada kala malam sudah tua.

 

Natasha mengetuk pintu rumah Haslam bertalu-talu. Tangan sebelahnya pula sedang erat menggenggam hulu sebilah pisau.  Dia hanya menunggu sehingga Haslam membuka pintu. Pada jam satu pagi itu, mungkin Haslam sedang lena diulit mimpi. Mungkin juga masih menggeliat tatkala terjaga tidurnya.

 

Dua minit kemudian, pintu kayu itu terkuak. Hanya terdapat pagar besi yang membatasi Natasha dan pakciknya itu. Tanpa berlengah lagi, Natasha terus menghayunkan pisau itu ke arah kepala Haslam. Pisau itu berjaya melayang melalui ruang antara besi-besi pagar lalu menembusi kepala Haslam. Maka, hayatnya tamatlah pada hari itu. Jasadnya bermandikan darah.

 

Natasha menjadi seriau melihat lumuran darah. Tiba-tiba dia menjadi mual. Kepalanya menjadi semakin ringan tanpa beban. Natasha mencungap-cungap. Akhirnya dia rebah di tengah-tengah koridor aras flat itu. 

 

***

 

Zamri menghidupkan televisyen dalam bilik itu. Dia mahu menunjukkan Natasha rakaman liputan berita mengenai kesnya. 

 

“Seorang lelaki berumur 48 tahun maut selepas sebilah pisau ditusuk ke kepalanya dalam kejadian di Estet Perumahan Fajar pada tengah malam Rabu. Menurut Naib Superintenden DSP Abdul Rahman Awang, kejadian berlaku apabila mangsa didatangi anak saudara perempuannya pada waktu itu yang merupakan pesakit di Institusi Kesihatan Mental (IMH). Suspek berusia 20-an dipercayai mengalami skizofrenia dan dissociative amnesia dan telah melarikan diri dari institusi tersebut. DSP Rahman juga mengatakan siasatan lanjut menunjukkan bahawa suspek ingin membalas dendam terhadap bapa saudaranya kerana telah membunuh adiknya pada enam bulan yang lalu. Suspek kini sedang ditahan di IMH. Pihak polis akan terus menyiasat kes ini apabila suspek sudah kembali stabil untuk disoal jawab."


 

-tamat-

bottom of page