

Khabar Baikku yang Terhilang
​
(Pantun)
Jari terhimpit logam permata
Ketat bagai mengecam mahligai
Ramai bimbit zuriat tercinta
Sudahku cuba cara pelbagai
(Sajak)
Inilah riwayat hidupku
Soalan demi soalan
Di mana dikau?
Jadi suri rumah impianku
Ku cuba
Cuba, cuba dan cuba
Doktor tolonglah, Tuhan tolonglah
Adakah ini kenyataanku?
Setiap minggu berlalu,
Anak-anak lain melaluiku
Tiada buah, tiada makan
Perut kosong, tiada kembung
Menggalas sejuta mimpi, sejuta impian
Tersungkur, muka tercalar
(Syair)
Esokan hari, sinar suria
Dapat berita, rezeki tiba
Akhirnya aku dapatkan juga
Zuriat tercinta, aku bahagia
Ditarik nikmat yang kunjung tiba
Sebentar lagi malam bertakhta
Termenung jenak luar jendela
Bulan mengambang perih tersisa
Inilah nasib keluarga kita
Hilang harapan yang telah ada
Pahitnya takdir, sudah ku rela
Ketentuan Tuhan yang Maha Esa
(Pantun)
Layang-layang putus talinya
Tidak berdaya, nasib terserah
Ibu bapa, maafkan saya
Ada rezeki, jumpa di Jannah