top of page

Naib Juara Peraduan Cerpen Bisikan Pena 2023

DSC_0267_edited.jpg

Mencari Erti Kehidupan

​

Sekali lagi, aku menatap wajah itu di dalam cermin. Naluriku memberitahu bahawa aku mengenalinya tetapi aku masih keliru. Siapakah wajah yang berhadapanku itu? Rambutku berjuntai berserabut menutupi mukaku. Aku masih ingat lagi remaja yang riang dan yakin dengan dirinya sebelum semua ini berlaku. Sekiranya aku dapat putar balik masa, aku pasti tidak akan melakukan perkara yang bodoh itu. Namun, semuanya sudah terlambat sekarang. Nasi sudah menjadi bubur. Aku mengelap air mataku yang berkolam di mata.

 

Pagi tadi, aku baru sahaja dibenarkan pulang ke rumah dari pusat pemulihan dadah. Wajah Ibu yang penuh dengan bayang-bayang kekecewaan dan kepiluan masih jelas di dalam ingatanku. Suaranya mengandungi seribu derita yang tidak kesudahan. Adik-adikku semua langsung tidak memandang ke arahku tetapi aku dapat lihat air mata bergenangan di kelopak mata mereka. Aku tahu mereka kecewa. Sebagai anak sulung, aku patut melindungi dan menjadi teladan bagi mereka. Namun, aku memalukan dan menghancurkan nama baik keluargaku pula. Mata Ayah memancar api terbakar dan mukanya merah padam. Tentu dia berasa sangat marah dan kecewa dengan anaknya yang dia telah membesarkan dengan sepenuh hatinya.

 

Suara Ibu terngiang-ngiang di dalam fikiranku, “Kenapa kamu melakukan semua ini, Akmal? Ibu tidak mengenali kamu lagi!”

 

Aku tahu, semuanya salah aku. Aku yang pilih untuk menyalahgunakan dadah. Aku yang tidak bersyukur untuk semua pengorbanan keluargaku buat aku selama ini. Namun penyesalanku tidak lagi bermakna. Kini, aku hanya boleh berubah dan bekerja keras untuk menyelesaikan semua masalah yang telah aku timbulkan. 

 

Malam itu, aku terdengar Ayah dan Ibu bertengkar di luar bilikku. 

 

“Aku tidak kisah. Aku tidak mahu dia tinggal di dalam rumah aku lagi. Dia bukan budak kecil lagi. Menyusahkan aku sahaja!” kata Ayah.

 

Kata-katanya itu mengguris luka di hatiku. Tidurku tidak tenteram pada malam itu. Segigih mana usahaku untuk meraih kemaafan Ayah, aku masih tidak berjaya. Aku bertekad untuk membanggakan keluargaku, menunjukkan mereka bahawa aku sudah berubah. 

 

Seawal fajar menyinsing keesokan harinya, aku keluar dari rumah untuk mencari pekerjaan. Walaupun keluargaku kaya dan menjalani kehidupan yang mewah, Ayah tidak mahu menyokong dan menyara kehidupanku lagi selepas apa yang terjadi, dan aku hanya dibenarkan tinggal di rumahnya buat sementara sahaja. Selepas beberapa minit berjalan, aku terlihat poster yang mengiklankan bahawa suatu kedai makanan memerlukan kakitangan. Lantas, aku masuk ke dalam kedai tersebut. Kedainya kecil dan dindingnya dicat merah. Seorang pekerja mendekati aku.

 

“Selamat pagi encik. Tadi saya lihat yang kedai ini memerlukan pekerja. Boleh saya memohon pekerjaan ini?” 

 

Pekerja itu menjeling kepada aku. Matanya terbeliak.

 

“Bukankah engkau anak orang kaya yang ditangkap menghisap dadah? Sudahlah. Pergilah ke tempat lain. Kami tidak memerlukan pekerja seperti engkau.” katanya dengan sinis.

 

Aku tersentak apabila aku mendengar penghinaan yang tajam itu. Walaupun aku sudah melihat dan membaca berita yang menceritakan tentang perkara-perkara yang aku telah lakukan, aku tidak sangka bahawa begitu ramai orang sudah melihatnya juga. Aku menundukkan kepalaku kerana malu. Dengan pantas, aku meninggalkan kedai itu lalu menuju ke tempat lain. 

 

Aku mula berjalan dengan perlahan. Dalam masa-masa seperti inilah yang aku terasa ketahananku diuji. Sebelum aku mula menghisap dadah, aku tidak pernah bekerja atau berdikari. Semua keperluanku dipenuhi dengan menggunakan duit Ayah. Siapakah aku tanpa bimbingan Ayah? Aku tidak pernah mempunyai identiti sendiri. Semuanya diuruskan oleh Ayah. Itulah sebab aku mengambil dadah buat pertama kali. Aku perhatikan rakan-rakanku yang mengambil dadah semua mempunyai kepercayaan diri yang tinggi. Perkara ini membuahkan harapan dalam hatiku yang aku juga boleh menjadi seperti mereka jika aku mengambil dadah juga. Aku terlalu bodoh untuk membuat keputusan yang wajar untuk diriku sendiri. Kerisauan bertalu-talu melekat di fikiranku. Kini, dengan reputasiku yang buruk, pasti tidak ada orang yang sudi menerimaku sebagai pekerja. 

 

Namun, aku harus tahan hati. Aku tahu, aku tiada lagi naungan. Aku harus berdikari. Aku harus tabah mengharungi kesusahan. Malah, aku yang membuat keputusan yang salah. Aku harus bangkit daripada kesilapanku itu. 

 

Di bawah mentari yang memancarkan suria mudanya, aku duduk di sebuah bangku di taman riadah. Aku memandang wajah-wajah riang kanak-kanak yang bermain di sini. Ibu bapa tersenyum melihat mereka. Sekuntum senyuman sedih terukir di bibirku. Aku fikir tentang Ibu, tentang Ayah. Memori indah bermain di benak fikiranku. Tiba-tiba, telefon bimbitku berdering. Aku menerima panggilan daripada adikku.

 

Nada suaranya bagaikan sembilu menghiris tangkai hatinya. “Abang, pulang ke rumah, cepat. Ayah dah tak ada, bang. Ayah dah tak ada. ” 

 

Hatiku hancur seribu apabila aku mendengar berita itu. Seribu soalan dan kerisauan memenuhi kepalaku. Mengapakah perkara ini berlaku secara tiba-tiba? Setahu aku, Ayah sihat sahaja. Adakah perkara ini berlaku kerana aku? Adakah aku menyebabkan Ayah berasa terlalu tertekan sehingga badannya tidak dapat menerimanya? Aku tidak berpeluang untuk meminta maaf kepada Ayah semasa dia masih bernafas. Tanpa Ayah, siapa akan menanggung kehidupan keluargaku? 

 

Tanpa membuang masa, aku bergegas pulang ke rumah. Hatiku berdegup kencang di dalam dada. Pandanganku mula kabur disebabkan air mata yang berkolam di kelopak mata. Dalam perjalanan pulang, aku asyik berfikir tentang dosa-dosa yang aku telah lakukan kepada Ayah. Sekarang, semuanya sudah terlambat. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna. Itulah nasihat yang selalu diberi oleh Ibu. Jikalau aku mendengar kata-katanya, mungkin semua ini tidak akan berlaku.

 

Sejurus selepas aku sampai di rumah, kelihatan saudara-mara memenuhi ruang tamu. Ibu dan adik-adikku berdiri di luar bilik Ayah. Keletihan dan kehibaan terpancar di wajah-wajah mereka. Aku masuk ke dalam bilik Ayah lalu memandang wajah Ayah buat kali terakhir. Matanya tutup dan mukanya pucat. Akhirnya, air mataku mula berlinangan tanpa henti. Hatiku dirantai kesedihan. Aku tahu, aku harus menjaga keluargaku sekarang. Itulah tanggungjawab yang harus aku galas sebagai anak sulung. Aku mendakap Ibu dengan erat tetapi dia bagaikan tidak mengendahkan aku.

 

“Ibu, Akmal berjanji yang Akmal akan menjaga keluarga ini. Akmal minta maaf, Ibu. Akmal minta maaf, ” kata aku dengan perlahan.

 

Ibuku diam seribu bahasa seolah-olah aku bersalah. Dia sedikit pun tidak menatap wajahku semasa kami berbicara. Matanya berkaca. Di sekelilingku, saudara-mara berpaling muka seolah-olah aku tidak wujud. Keadaan ini sangat meruntun jiwa. Aku diberitahu bahawa Ayah meninggal dunia akibat serangan jantung. Walaupun tidak diucapkan, aku dapat merasakan dalam hatiku yang mereka menyalahkan aku atas musibah ini. Rasa pilu mencucuk-cucuk tangkai hatiku.

 

Seminggu selepas pengebumian Ayah, aku mengambil alih tempatnya sebagai ketua pegawai eksekutif di syarikatnya. 

 

Pada hari pertama aku di syarikat, aku telah diperkenalkan dengan semua pegawai dan pekerja. Antara mereka ialah setiausaha Ayah, Puan Yati, yang menunjuk ajar cara pengurusan syarikat kepada aku. 

 

Hari demi hari aku menjalani dengan tabah walaupun aku harus menghadapi sindiran daripada pekerja yang tidak senang dengan perlantikanku. Aku pernah menyuarakan hal ini kepada Puan Yati tetapi dia menasihatiku supaya fokus kepada kerja dan menganggap ini sebagai ujian. Ramai pekerja tidak menghormati aku sebagai pemimpin mereka kerana aku bekas penagih dadah dan mereka menyangka bahawa aku akan menjatuhkan nama baik syarikat. Namun, aku bertekad akan bekerja keras untuk memajukan dan membawa kejayaan kepada syarikat Ayah. 

 

Pada suatu hari, pintu pejabatku diketuk oleh beberapa orang kakitangan kanan. Mereka menyerahkan surat perletakan jawatan kepada aku. Menurut mereka, mereka tidak berasa yakin dengan kebolehan aku untuk menerajui syarikat ini. Oleh sebab itu, mereka tidak mahu meneruskan khidmat mereka di sini. Aku cuba memujuk mereka supaya menarik balik keputusan mereka. Malangnya, usaha aku itu sia-sia, bagaikan mengukir di atas air. Kini, aku terpaksa mengambil alih beban kerja yang ditinggalkan oleh mereka sehingga aku mendapatkan pengganti. 

 

Beberapa bulan selepas pemergian mereka dari syarikat, aku masih tidak boleh mendapatkan pengganti yang sesuai. Kerja tambahan yang aku harus lakukan menjadi terlalu banyak untuk aku pikul. Oleh sebab itu, aku terpaksa memberi sebahagian daripada kerja itu kepada pekerja-pekerja aku. Jelas, mereka tidak berasa senang dengan perkara ini. Apabila aku mengumumkan berita ini kepada mereka, mereka mengeluh dan berpaling muka dengan aku. 

 

“Bos baharu ini memang pemalas. Dia suruh kita melakukan kerjanya pula. Aku dengar dia penagih dadah. Aku tidak tahu siapa membenarkannya memimpin syarikat ini. ” kata salah satu daripada pekerjaku.

 

Namun, aku tidak mengendahkannya. Inilah tanggungjawabku sebagai seorang ketua. Aku harus memastikan bahawa semuanya berjalan dengan lancar.

 

Walaupun sukar, aku tetap bekerja keras untuk memimpin syarikatku sehingga berjaya. Banyak malam aku habiskan di pejabat untuk menyemak dan menyelesaikan projek supaya syarikat tidak runtuh. Akulah orang pertama tiba di pejabat dan orang yang terakhir pulang. Tekanan akibat kerja kadangkala menyebabkan keinginan untuk kembali ke ketagihanku menyerap di sanubariku. Namun, aku menghapuskan semua keinginan itu dengan mengingati kembali tentang pesanan-pesanan yang diberi semasa aku berada di pusat pemulihan dadah. Aku sangat bersyukur kerana aku juga menerima banyak nasihat dan kata-kata perangsang daripada Puan Yati. 

 

Lama-kelamaan, kebolehan aku sebagai pemimpin syarikat mula terserlah. Syarikat yang Ayah bekerja keras untuk bina menjadi lebih maju dan berjaya. Aku dapat menyelesaikan masalah dengan cekap dan mula mendapat kepercayaan dan keyakinan pekerja-pekerjaku. 

 

Hubungan aku bersama keluargaku juga menjadi lebih baik. Aku rasa Ibu sedar bahawa aku telah betul-betul berubah dan menjadi lebih bertanggungjawab. Setiap hari sebelum aku menuju ke pejabat, Ibu menyediakan sarapan untuk aku. Senyuman manis selalu terukir di wajah tuanya. Ibu kata bahawa aku sama seperti Ayah. Ayah seorang yang berkarisma. Ayah seorang pemimpin yang tegas tetapi penyayang. Ayah boleh menempuh segala cabaran yang dia hadapi. 

 

Sebelum ini, aku asyik tertanya-tanya. Siapakah aku? Mungkin inilah jati diri yang aku tercari-cari selama ini. Aku telah berjaya bangkit daripada kesilapan dan belajar daripada masa silamku. Mungkin menjadi seorang pemimpin ialah erti kehidupan yang selama ini menanti untuk aku jalani.

bottom of page