

Aku menghela nafas sambil melabuhkan punggung di atas sofa yang empuk. Betapa letihnya aku setelah bertugas seharian. Walaupun begitu, kesyukuran tetap meruap di dadaku. Mestilah, aku tergolong antara hamba-hamba yang sungguh bertuah. Aku memandang ke sekelilingku, mataku menatap kepada rumahku yang luas sekali, dipenuhi perabot-perabot mahal yang menarik perhatian sesiapa di rumah itu. Senyuman kecil terukir di wajahku. Kekayaan yang aku dapat rasai kini memang sesuatu berkat yang aku amat hargai. Walaupun begitu, aku tidak akan lupa jasa insan yang telah memainkan peranan penting dalam hidupku. Ingatanku kembali menjangkau suasana masa lampau. Peristiwa manis, pahit, suka dan duka mula menerobos terowong fikiranku dengan begitu jitu…
Aku tercungap-cungap. Hatiku berdebar dengan pantas. Beg sekolah yang berat membebankanku. Manik-manik peluh menitis daripada dahiku akibat cuaca yang membahang. Sang Bayu yang bertiup sepoi-sepoi bahasa menyapa pipiku yang gebu apabila aku berlari secepat mungkin ke arah rumahku. Setibanya di halaman depan rumah, aku mencampak begku yang sudah terkoyak-koyak ke satu sisi sebelum meluru ke tempat pembuangan sampah. Itulah kehidupanku pada masa itu. Sudah menjadi rutin untukku mengais rezeki dari tapak pelupusan sampah setelah waktu sekolah setiap hari. Aku terpaksa membantu orang tuaku menyara kehidupan keluarga. Pekerjaan ayah sebagai seorang petani tidak cukup untuk menyuapkan aku dan tiga saudaraku. Aku berasa kasihan terhadap ayah. Sepanjang hari dia bekerja di sawah. Pada musim hujan, dia akan pulang membawa rezeki, ketika musim kemarau, ayah pulang hanya membawa keringat. Ibu pula harus menjaga adik-adikku yang masih kecil lagi. Kedua-dua orang tuaku telah menjaga kami bagai menatang minyak yang penuh. Oleh sebab itulah aku ikhlas mahu membuat apa yang aku mampu untuk menolong mereka.
Maka, sudah menjadi kebiasaan untuk aku mengais sampah setelah waktu sekolah setiap hari. Sampah kerap dipandang sebagai benda yang tidak bernilai. Namun, bagi penduduk Kampung Rambutan, mengumpulkan sampah menjadi mata pencarian kami untuk penuhi kebutuhan hidup. Kami tahu bahawa sampah-sampah yang ternampak jijik itu sebenarnya sangat berharga. Dahulu, aku dan sahabatku, Adi, pernah ketemu sebuah kipas elektrik yang sudah rosak. Benda yang kelihatan sudah tidak berfungsi itu dapat kami betulkan. Kini, kipas yang berputar ligat dapat mendinginkan rumahku. Ada juga beberapa kali di mana aku menemui baju-baju terpakai. Baju yang sudah pudar warnanya masih dapatku pakai. Malah, ia jauh lebih baik daripada pakaianku yang setakat secarik kain lusuh yang terdaya meliputi tubuhku.
"Mengapakah ramai orang membuang dan membazirkan benda-benda berharga ini?" Adi luahkan ketika kami sedang mengheret karung yang penuh dengan pencarian kami ke arah rumah.
Aku hanya mampu menggelengkan kepalaku terhadap sikap penduduk bandar yang tidak menghargai barang berguna. Aku mengeluh. Telapak kakiku mulai terluka kerana berkaki ayam di jalanan kasar. Lenganku mula berasa sakit memikul karung yang berat itu. Sesekali, aku akan termenung tentang kehidupan keluarga yang mewah dan berkemampuan. Pasti mereka mempunyai rumah yang luas, kereta mahal, banyak pakaian yang kemas dan bersih serta hidangan istimewa mereka dapat makan setiap hari. Alangkah nikmatnya kehidupan seperti itu. Fikiran-fikiran itu telah menanam azam dalam diriku agar rajin belajar supaya impianku akan menjadi kenyataan.
Keletihan enggan berganjak dari diriku. Seluruh tubuhku berasa lemah dan perutku berkeroncong. Aku duduk bersila di lantai yang berkayu. Mataku menatap makanan yang di hadapanku. Hanya secedok nasi dengan kuah sahaja. Nafsu makan sudah hilang tetapi aku sedar bahawa ibu yang telah masak akan sedih jika aku tidak habiskan makanan. Aku menghela nafas kecil. Aku tahu bahawa hidangan itu telah menjadi makanan seharian kami oleh sebab musim kemarau. Pada masa seperti itu, kami tidak ada banyak rezeki.
‘Bersyukurlah, ramai orang tidak ada makanan langsung pun’, hatiku berbisik.
Malam sudah melabuhkan tirainya. Hanya bunyi cengkerik yang menguasai kesunyian malam itu. Butir-butir bintang menerangi langit dengan begitu indah. Jarum jam sudah menunjukkan pukul sebelas malam. Adikku yang berkongsi bilik denganku sudah lama terlelap tetapi aku belum tidur lagi. Masih terdapat banyak kerja sekolah yang harus aku siapkan. Ibu selalu menekankan kepentingan pelajaranku dan berpesan agar aku rajin belajar.
“Tidak kira sama ada kita miskin. Yang paling penting adalah pelajaranmu, Adam. Ingatlah, kamu mesti menumpukan sepenuh perhatian di sekolah. Lebih baik jika kamu membuat ulang kaji dan pembelajaran di luar sekolah juga kerana pendidikan di sini tidak begitu baik diperbandingkan dengan sekolah di luar kampung,” nasihat ibu masih terngiang-ngiang di telingaku.
Siapa sangka bahawa kerja kerasku akan membuahkan hasil. Alangkah gembiranya aku ketika menerima biasiswa untuk ke menara gading yang berprestij di bandar raya. Sekolah telah mengiktirafkanku sebagai salah satu murid yang cerdas dan mempunyai semangat juang untuk belajar. Perasaan syukur dan gembira berbunga di hatiku. Mujurlah Adi juga mendapat biasiswa itu. Kegembiraanku pada saat itu belum ada perbandingan. Kini, aku dapat masuk ke sekolah yang mewah dengan sahabatku. Aku masih lagi ingat air muka ibu setelah aku memberitahunya berita gembira itu. Sinar kegembiraan dan kebanggaan menyerlip di matanya. Ayah pula mengukirkan senyuman yang lebar sebelum memanjat doa kesyukuran. Harapan ibu bapa supaya anak-anak mereka berjaya sudah mulai dikabulkan.
Pertama kali aku memasuki sekolah, aku disambut keasingan. Sekolah itu sungguh luas dan besar dibandingkan dengan sekolahku di kampung. Kebanyakan pelajar di situ datang daripada keluarga yang kaya-raya. Mereka berpenampilan bersih dan kemas. Barang-barang mereka semua berjenama serta mahal. Ramai daripada mereka juga mempunyai sikap sombong dan memandang rendah orang lain. Mereka akan mempamerkan dan membandingkan barang-barang mereka dengan satu sama lain. Ketika aku dan Adi menjejakkan kaki ke arah kelas melalui koridor, pelajar-pelajar yang lain memandang kami dengan tajam, memerhatikan gerak-geri kami. Bisik-bisikan boleh kedengaran antara kumpulan murid-murid. Aku hanya mampu menundukkan kepalaku dengan penuh malu. Aku tahu bahawa pakaian dan barang-barangku bukan yang berjenama atau mahal. Aku tahu bahawa aku tidak berkemampuan seperti pelajar yang lain. Namun, kekurangan itu tidak akan menghalangiku daripada mencapai cita-citaku.
Sudah beberapa hari bersekolah tetapi masih tidak ada sesiapa yang ingin bersembang dengan aku dan Adi. Entah mengapa, mungkin kerana kami daripada keluarga miskin. Mungkin kerana kami tidak ada barang yang terkini dan bergaya. Apa sahaja sebabnya, aku tidak peduli. Sekurang-kurangnya, Adi sentiasa di sisiku. Namun, pelajar di situ bukan hanya mempedulikan kami sahaja. Satu pelajar, Fizi, yang merupakan salah satu murid terkaya di sekolah itu selalu mencari kesempatan untuk mengejek aku. Dia selalu memalukanku dengan panggilan nama seperti ‘anak kampung’ dan ‘keluarga pengemis’. Semua kata-kata kesat dan keji diluahkannya.
“Kau tidak layak berada di sekolah ini. Pergi baliklah ke kampung sampah kau tu,” Fizi menghina dengan lantang, sehingga kawan-kawannya ketawa terdekah-dekah.
Kata-katanya itu menikam terus ke hati. Aku cuba menahan air mataku, lebih memalukan jika aku menangis di hadapan rakan sekelasku. Adi, yang telah menyaksikan kejadian itu menenangkan aku lalu menyuruhku untuk tidak endahkan Fizi dan kawannya. Kegembiraanku masuk ke sekolah itu lenyap oleh kerana Fizi yang tidak henti mengganggu aku.
Aku baru sahaja pulang dari sekolah. Ketika aku berdiri di ambang pintu, kedengaran suara-suara di dalam rumah, keadaan begitu riuh-rendah. Perasaan hairan menyelubungi diriku kerana biasanya, pada waktu itu, ayah masih bertugas dan adik-adikku masih bermain di dekat sungai. Aku melangkahkan kaki ke dalam rumah lalu melihat semua ahli keluargaku berkumpul di sekeliling ibu yang terbaring di atas katil. Hatiku mula berdebar pantas. Ayah menjelaskan bahawa ibu beberapa kali muntah dan sering kali berasa mual. Ibu juga terbatuk-batuk tanpa henti dan suhu badannya juga meningkat. Setelah dibawa ke klinik, mereka mendapati bahawa ibu menghidap keracunan makanan. Rupa-rupanya, ramai penduduk Kampung Rambutan ada penyakit yang sama. Setelah menjalankan penyiasatan, mereka baru sedar bahawa sungai yang merupakan sumber air kami telah tercemar dengan kimia kerana kekurangan rawatan air. Oleh sebab pencemaran sungai, air itu sudah tidak aman untuk diminum atau digunakan. Namun, penghuni kampung tidak ada pilihan yang lain dan terpaksa minum air yang tercemar itu. Mereka tidak ada cukup wang untuk membeli air bersih dari luar kampung.
Beberapa hari sudah berlalu tetapi keadaan ibu semakin teruk sahaja. Terpaksalah ibu dibawa ke klinik. Tiada hospital di kawasan kampung itu. Hospital yang terdekat adalah di kota dan pembayarannya juga amat mahal. Sebuah klinik yang kecil menjadi harapan kami agar ibu cepat sembuh. Ibu diberi beberapa ubat untuk membantunya pulih. Aku terpaksa menjaga adik-adikku sementara ayah bekerja hingga malam agar mendapatkan cukup wang untuk membayar bil klinik. Sudah hampir satu bulan ibu masih terlantar di katil. Doktor sering kali berkunjung ke rumah kami untuk periksa keadaan ibu. Kerisauan terhadap ibu menyelubungi diriku. Aku masih teringat ketika aku dikejutkan oleh ayah pada pukul satu pagi. Kegelisahan tercalit di wajahnya semasa dia menyuruh kami bersiap-sedia untuk ke klinik dengan begitu huru-hara. Rupa-rupanya, ibu telah meraung-raung kesakitan di tengah malam dan mulai bermuntah. Ayah dengan cemas membawanya ke klinik lagi.
“Cepatlah, doktor mengatakan bahawa ibu tidak ada banyak masa.”
Cetusan kata-kata ayah menusuk jauh ke sanubari. Aku terpaku buat seketika, tidak percaya dengan apa yang ayah katakan. Tidak. Tidak mungkin. Ibu akan cepat sembuh. Ibu akan berada di sisiku sampai aku dewasa. Ibu akan menyokongku dan memberikan semangat kepadaku. Ibu akan menyaksikan kejayaanku. Tidak. Dia tidak boleh pergi sekarang. Aku belum sedia untuk kehilangan insan yang paling aku sayangi. Aku belum membayar jasa ibu yang selama ini mengorbankan segalanya untuk keluarga. Bendungan air mataku pecah. Ayah mendakapku dengan erat.
“Jangan nangis, Adam. Kau harus kuat untuk ibu dan adik-adikmu,” ayah bisik.
Aku mengangguk kepalaku dengan tanda faham. Kami sekeluarga bergegas ke arah klinik dimana ibu terbaring di katil. Aku berdiri di sampingnya sambil memegang tangannya yang berkedut seribu. Senyuman terukir di wajah ibu yang sudah dimamah usia. Hatiku disaluti kepiluan.
Ibu menghembuskan nafasnya yang terakhir. Sudah lama aku tangisi kesedihanku. Rintihan batinku hanya Tuhan yang tahu. Hanya yang mengerti sahajalah yang dapat meneroka betapa hancurnya hatiku. Dunia yang cerah kini diliputi dengan awan gelap. Kehidupanku tidak sama tanpa kehadiran ibu. Aku masih lagi teringat pesanannya yang terakhir. Iaitu agar aku tidak berputus asa dan kuatkan semangat. Nasihatnya itu akan terpateri di mindaku selagi hayat dikandung badan. Muncul di naluriku keinginan untuk menjadi doktor. Aku tidak mahu orang lain kehilangan seseorang yang disayangi oleh sebab keracunan makanan, seperti diriku.
Cabaran demi cabaran mendera kehidupan keluarga kami sejak ibu meninggal dunia. Berita tentang ibuku sebar di sekolah, entah bagaimana. Dengan sekelip mata, hampir semua rakan sekelasku tahu tentang kehilangan ibuku. Aku sudah duga bahawa Fizi akan menggunakan peluangan keemasan itu untuk mengejek aku lagi. Keluarlah nama panggilan ‘anak yatim’. Amarah mula meluap-luap di dadaku tetapi aku masih dapat mengawalnya. Ayah selalu menasihati aku agar tidak menimbulkan masalah dengan murid lain sehingga mulanya pergaduhan. Tambahan pula, gaji ayah sebagai seorang petani tidak mampu membiayai pelajaranku di universiti. Sekolah sudah memberi amaran agar membayar bil yang sudah dihutang dan kalau tidak, aku tidak dibenarkan bersekolah di situ. Ayah, yang merupakan penyemangat hidupku, tetap tabah dan berkata bahawa kami akan mengatasi apa jua rintangan yang menghalang impian.
Namun, aku mendapatkan restu yang tidak tersangka. Cikgu Ain mendapat tahu tentang keadaan keluargaku yang kesusahan lalu tanpa ragu-ragu, membuat keputusan untuk membantu membayar bil sekolah. Dia berpendapat bahawa pelajaranku adalah keutamaan. Cikgu Ain juga memerhatikan bahawa aku gigih ingin memperolehi ilmu. Kesyukuran di hati tidak terkata.
“Kuatkanlah azammu menghadapi dunia yang akan memerah darah dan keringat sebelum ia merelakan kejayaanmu,” menasihati Cikgu Ain.
Oleh sebab kebaikan Cikgu Ain, aku berusaha sehingga mendapatkan ijazah perubatan. Kini, aku berjaya menjadi seorang doktor termasyhur oleh sebab kemahiranku dalam bidang kedoktoran. Aku tahu bahawa bukan hanya kegigihanku sahaja yang membuatku berjaya, tetapi juga pengorbanan ibu, ayah dan Cikgu Ain yang tidak henti berikan semangat. Merekalah pendorongku dalam dunia yang fana ini. Nasihat mereka agar berusaha untuk mendapat kejayaan memang tepat, seperti istilah ‘malu berkayuh, perahu hanyut.’
Aku berharap bahawa dengan kepakaranku sebagai seorang doktor, aku dapat memnyelamatkan nyawa ramai orang. Ada satu kejadian di mana seorang dewasa yang menghidapi penyakit kronik telah datang ke hospitalku untuk dirawat. Penyakit yang dia hadapi memang jarang dan susah diubatkan. Namun, dewasa itu mampu aku selamatkan. Ketika hendak membayar bil rawatan, lelaki itu sedar yang dia tidak ada cukup wang. Aku teringat ibuku yang mungkin boleh diselamatkan kalau kami ada cukup duit untuk menghantarnya ke hospital. Dengan putih hati, aku akhirnya membantunya membayar bil itu. Aku tidak boleh membayar jasa ibu, atau Cikgu Ain, tetapi aku boleh melakukan kebaikan kepada orang lain. Ketika aku menanyakan namanya, dia ucapkan nama yang aku tidak duga.
“Nama aku Fizi.”
Aku terpaku buat seketika sambil menatap raut wajahnya.
“Halo, Adam. Sudah lama kita tidak berjumpa”
Tanpa aku sangka, Fizi mulai menangis teresak-esak sambil dia meuahkan bertalu-talu minta maaf. Aku memaafkannya kerana ibu selalu berpesan agar aku harus berbuat baik kepada sesiapa sahaja tidak kira apa yang mereka telah lakukan kepada kita.