top of page

Naib Juara Cerpen Kategori 'A' Bisikan Pena 2022

AIR PUN ADA PASANG SURUTNYA

​

Apa salah aku? Setiap kali aku menatap wajahku di cermin, aku rasa benci! Benci melihat wajahku yang cacat! Setiap kali aku keluar rumah, aku sering dipandang dengan sinis oleh orang-orang di sekelilingku. Aku benci dengan kehidupanku sekarang! Aku rindu dengan kehidupanku yang dulu.

​

“Hei Daniel, tunggu!”,jerit Rizky. Aku menoleh ke belakang dan melihat Rizky berlari ke arahku.“Boleh aku pergi ke rumah kamu? Kita perlu membuat projek subjek Matematik bersama-sama.” tanya Rizky sambil menunggu reaksiku. 

​

Aku memberi alasan kepada Rizky bahawa aku tidak boleh membuat projek itu kerana aku sudah ada rancangan dengan keluarga tetapi sebenarnya aku tidak ada motivasi membuat projek itu dengannya pada hari itu. Aku berasa sangat letih selepas berlari di taman sebelah bloknya pagi tadi. Aku juga berasa bahawa Rizky seorang yang pemalas dan dia hanya mahu membuat projek denganku kerana dia tahu aku akan mengerjakan kebanyakan tugasan projek itu hingga selesai. Aku sering menasihatinya supaya mengubah sikap malasnya itu namun sia-sia sahaja bak peribahasa bagai hujan jatuh ke pasir. Dia cepat hilang fokus dan sering bermain permainan komputer di dalam kelas. Aku jelek dengan sikapnya itu. 

​

Rizky kelihatan hampa dan sedih dengan responsku dan dia seakan-akan tahu yang aku cuba memberi alasan. Aku tidak peduli. Biarkan dia terasa hati. Aku terus menyambung perjalananku pulang ke rumah yang hanya mengambil masa 5 minit sahaja kerana jaraknya begitu berhampiran dengan sekolah. Sambil berjalan, aku juga suka melihat tumbuhan-tumbuhan hijau yang berada di pinggiran jalan sambil mendengar muzik kegemaranku, iaitu lagu berentak K-Pop. 

​

Apabila aku sampai di kolong blokku,aku masuk ke dalam lif dan menekan butang nombor 18 seperti biasa. Tiba-tiba, di tingkat 12 lif terhenti selama beberapa minit. Aku panik tapi aku cuba menenangkan diriku. Aku menekan butang berhenti kecemasan dengan harapan ada yang terdengar dan membantuku. Dengan tidak semena-mena,aku merasakan satu gegaran yang kuat. Aku terpekik ketakutan! Aku tidak boleh mengingati apa yang terjadi selepas itu. Apabila aku bangun, aku sudah berada di dalam van ambulans dan melihat beberapa orang pegawai paramedik di sekelilingku. Mukaku terasa sangat pedih dan seperti kulitku disiat-siat. Bayangan mereka mula pudar selepas beberapa minit aku tersedar selepas kemalangan itu. 

​

Aku terdengar suara esakan seorang perempuan, persis suara yang sangat aku kenali. Aku cuba membuka mataku perlahan-lahan di sebalik kesilauan lampu yang memancar ke arah mukaku. Ibu? Mengapa ibuku menangis? Aku tidak pasti apa yang berlaku. Aku berasa sungguh bingung! Ibu memelukku dan menyuruhku banyak bersabar dan bertenang. Aku berasa sangat cemas dan dadaku berdebar-debar.

​

Beberapa minit kemudian, seorang doktor menghampiri katilku di hospital. Aku seperti tidak keruan, seperti cacing kepanasan. Apa yang berlaku kepadaku? Aku mahu penjelasan. Ibu bapaku hanya mendiamkan diri dan menyuruhku bersabar sehingga doktor datang untuk menjelaskan keadaanku. 

​

Tidak! Tidak! Aku tidak boleh terima berita yang disampaikan oleh doktor. Aku lumpuh dan wajahku cacat! Aku seperti orang yang hilang ingatan dan menjadi histeria sejurus mendengar mengenai keadaanku. Aku tidak dapat membayangkan nasibku berubah dengan sekelip mata! Mengapa aku? Mengapa bukan orang lain? Aku terus meratap setiap hari sehingga berbulan-bulan lamanya. 


Tidak pernah aku bayangkan bahawa orang yang aku tidak suka selama ini begitu setia menjadi sahabatku yang paling rapat. Dialah yang sentiasa memberiku kata-kata semangat untuk meneruskan kehidupan dengan positif. Rizky, aku minta maaf kerana jelek dengan sikapmu selama ini. Kau ibarat mutiara sahabatku, susah senang bersamaku bagai aur dengan tebing. Rizky tidak kenal erti penat selama beberapa tahun aku berkerusi roda di sekolah dan di luar sekolah, dia ada bersamaku dan menjagaku tanpa jemu. Terima kasih sahabatku, jasamu akan kukenang sampai bila-bila. Melalui Rizky, aku akur bahawa sebagai manusia, kita harus redha bahawa kehidupan ini ada kalanya kita di atas, ada kalanya di bawah, bak kata pepatah, air pun ada pasang surutnya. Aku mengucapkan syukur kepada tuhan dengan nikmat yang diberikan kepadaku dan aku redha dengan keadaanku sekarang.

.

bottom of page