
Kalyisah Adlina Binte Mohammad Nuruddin
Sekolah Menengah Changkat Changi
Naib Juara Cerpen Kategori 'B' Bisikan Pena 2021

“Graduating at the top of her class, we have Aina Binte Mahmud. Honours in Marketing and Finance, First Class Distinction and winner of the Ngee Ann Kongsi Book Prize!”
Sejurus mendengar namaku dibaca oleh naib canselor, aku mengorak langkah menaiki pentas. Cukup yakin dan bangga! Inilah saat yang telah aku nanti-nantikan. Seorang anak melayu yang telah bertungkus lumus memperbaik diri akhirnya berjaya menjadi pelajar terbaik kohortnya. Siapa kata anak melayu tidak boleh berjaya? Aku memang pantang mendengar stereotaip kononnya orang melayu malas dan tidak pandai merancang masa hadapan! Sudah aku berjaya menyangkal mitos itu!
Sambil menggenggam segulung ijazah, mataku tercari-cari kelibat kedua ibu bapaku di dalam dewan universiti. Ibu dan ayah sedang menangis kegembiraan melihat anak perempuan mereka menamatkan pengajian di menara gading. Alhamdullilah, dek prestasiku di universiti, aku telahpun ditawar bekerja dengan syarikat insurans AIA sebagai pengurus pemasaran. Tidak pernah terlintas dalam fikiranku yang aku akan mendapat pekerjaan secepat ini. Betul kata orang, jika tidak dipecah ruyung,di mana boleh mendapat sagunya. Tidak akan tercapai cita-citaku tanpa usaha yang gigih. Terima kasih ibu dan ayah kerana selalu menyokong segala keputusan Aina dan menjadi tulang belakang Aina selama 4 tahun di universiti!
“Ibu..Ayah! Aina dah bergelar siswazah! Ibu dan Ayah bangga tak dengan pencapaian Aina?” jeritku sambil terkinja-kinja.
“ Mestilah Aina,Ibu dan Ayah tumpang gembira melihat Aina berjaya.Tapi Aina... jangan lupa, kejayaan sebenar tidak tertakluk hanya kepada pencapaian individu. Kejayaan sebenar adalah apabila kita sudah berbakti kepada masyarakat,” nasihat ibu dengan sendu.
“Betul kata Ibu Aina. Dengan kejayaan Aina ini, Ayah harap Aina jadi seperti buah padi,makin berisi makin rendah,jangan seperti lalang,makin lama makin tinggi, ” sambung ayah dengan nada yang lembut sambil membelai rambutku.
Aku hanya mengukirkan senyuman kecil. Berat sungguh harapan Ibu dan ayah.
-----------
Tujahan cahaya matahari pagi menampar dada pejabatku.Pohon-pohon yang menari-nari ditiup angin bagaikan memujuk hatiku yang gundah. Keheningan pagi itu membuat aku terdiam seribu bahasa.
“Aina, kami harap awak boleh menunjukkan prestasi yang baik bulan ini. Sebaiknya, kamu harus mendapatkan 10 pelanggan baharu untuk syarikat AIA. Prestasi kamu akan dipantau setiap bulan. Cuba fikirkan strategi yang dapat membantu kamu, ’’ kata-kata Tuan Hafiz, ketua pemasaran AIA, menghantui mindaku.
Malangnya, semua rakan-rakan dan ahli keluargaku sudah pun mempunyai insurans tersendiri. Aku buntu. Apa yang akan terjadi sekiranya aku tidak mampu mendapat walau satu pun pelanggan?
*Tok Tok Tok*
“Puan Aina, boleh makcik masuk? Termenung jauh Aina. Aina ada masalah ke?” sapa Makcik Dijah, pegawai pembersihan di pejabat AIA.
“Silakan Makcik. Aina sedang rungsing fikirkan strategi untuk mendapatkan pelanggan. Makcik ada saranan? ” tanyaku dengan sendu.
“Eh Aina..manalah makcik layak beri saranan. Kamu yang pakar. Orang macam makcik ni nama aje bekerja di syarikat insuran. Tapi diri sendiri tidak ada insurans,” jawab Makcik Dijah sambil tersipu-sipu.
“Orang macam makcik? Maksud makcik? ” tanya aku kehairanan.
“Ya Aina. Makcik tinggal di rumah sewa yang sederhana aje di Jalan Kukuh. Pendek kata, orang macam kami ini tak ada pun pegawai insurans yang akan sapa,” jelas Makcik Dijah.
Dengan dahi yang berkerut, aku hanya mampu menganggukkan kepala. Kata-kata Makcik Dijah membuat aku keliru. Betul ke makcik tidak mampu membeli insurans? Setahu aku, pakej termurah kami hanya $50 sebulan untuk insurans kesihatan. Sekadar $50 pun tidak mampu? Inilah melayu! Tidak pandai merancang kewangan dan tidak pandai merancang untuk masa hadapan!
Hmmm...tapi kalau betullah belum lagi ada seorang pun pegawai insurans yang cuba mencari pelanggan di Jalan Kukuh, pasti tiada masalah untuk aku mencapai matlamat yang ditetapkan Tuan Hafiz! Bayangkan, pendapatan aku pasti akan lumayan!
--------------
Pada keesokan hari, aku memulakan misiku di Jalan Kukuh. Sebaik sahaja aku menapak di estet tersebut, badanku terasa seram sejuk. Bulu romaku berdiri. Jantungku bergoncang bagaikan mahu memecahkan rangka dadaku. Kedatanganku seolah-olah tidak disambut dengan baik.
Sekumpulan pakcik-pakcik melayu yang sedang bermain dam di kolong blok menjeling ke arahku. Sekumpulan kanak-kanak yang bermain berkaki ayam di taman permainan memerhatikan setiap langkahku.
Hmm...kebanyakan penduduk rumah sewa di sini berbangsa melayukah? Kenapa kebanyakan orang miskin orang melayu? Betulkan bangsa melayu bangsa pemalas? AHHHHH.
Aku bergegas menghampiri rumah yang pertama. Tingkap-tingkapnya dihiasi ketupat-ketupat plastik dan lampu kelap-kelip. Sahlah rumah ini dimiliki oleh orang Melayu! Senang sedikit untuk aku berunding sesama melayu.
*Tuktuk..tuktuk..*
“Assalamualaikum!” sapaku dengan nada yang lembut sambil mengetuk pintu rumah itu.
‘’Waalaikumusalam dik..sebentar ya kaki nenek sakit ni,” salamku disambut oleh seorang nenek tua dengan suara yang terketar-ketar.
‘’Nenek, nama saya Aina, seorang pegawai insurans AIA. Saya ke sini untuk berkongsi dengan nenek tentang pakej-pakej insuran yang kami tawarkan,” jelasku
‘’ Tidak apalah cu...nenek tidak mahulah insurans-insurans ini. Nenek bukannya faham tentang insurans,’’ sahut nenek itu dengan nada yang sayu. Tangannya terketar-ketar. Bajunya yang setakat secarik kain yang sudah lusuh dan robek tidak terdaya menyelimuti badannya yang kurus kering.
“Nenek...nek tidak bolehlah macam gini. Bak pepatah melayu, malu berkayuh perahu hanyut. Benarkan saya untuk terangkan ya. Kita sebagai orang melayu, kita harus pandai rancang untuk masa hadapan kita. Nenek tidak mahu mengubah nasib keluarga?” soal aku dengan suara yang tegas sambil membelek-belek brosur syarikat.
‘’Cu..macam mana nenek hendak beli insurans? Gaji suami nenek tidak seberapa pun..hanya $1500 sebulan. Apatah lagi ada lima mulut cucu-cucu yang kami harus suap setiap bulan..Ini semua makan duit dik.Kami sekeluarga ini bertarung dengan dugaan demi dugaan.Terhumban ke dalam lembah hidup yang penuh dengan onak dan duri,’’ jawab nenek itu sambil menundukkan kepalanya.
“Bagaimana nanti kalau ada malapetaka yang berlaku? Nenek ada cukup wang simpanan ke untuk bayar bil seratus peratus? Kalau nenek ada insurans, syarikat AIA boleh bantu bayar bil atau apa jua kerugian yang dihadapi. Nenek tidak mahu bersedia untuk masa hadapan? ” aku terus berhujah dengan bongkaknya.
“Buat apa nenek perlu ketepikan wang insurans untuk sesuatu yang mungkin tidak akan berlaku? Kalau tidak ada malapetaka, duit bulanan insurans itu terbuang begitu sahaja. Lebih baik digunakan untuk membayar keperluan dapur cu...”jelas nenek dengan tenang..
Aku terdiam. Luahan nenek betul-betul menampar diriku. Selama ini aku tidak pernah memahami realiti kehidupan orang-orang seperti nenek.
“ Baiklah nek, kalau nenek berubah fikiran..nenek boleh menelefon nombor di brosur ini ya, ’’ pesanku sebelum berlalu pergi.
​
-------
‘’Kala ku pandang kerlip bintang nun jauh di sana
sayup mendengar melodi cinta yang meggema
Terasa kembali gelora jiwa mudaka
Karena tersentuh alunan lagu semerdu kopi dangdut’’
Apabila aku menghampiri rumah seterusnya, aku terdengar nyanyian yang amat mengjengkelkan. Kedengaran lagu ‘’Kopi Dangdut’’ yang dinyanyikan oleh Mala Agatha berkumandang. Ish...siapa yang sedang berkaraoke ni?
Dengan kuat, aku mengetuk pintu rumah kedua dan memberi salam. Aku terkejut apabila panggilanku disahut oleh seorang kanak-kanak kecil yang mengetap puting di bibirnya dan memeluk bantal busuknya.
‘’ Ya Allah...Adikk!!! Kenapa adik membuka pintu tanpa pengetahuan ibu? ’’ teriak seorang wanita.
‘’Hahaha..tidak mengapa kak. Saya di sini nak tanya...akak sekeluarga sudah membeli insurans? Kalau tidak saya di sini mahu menjual insurans pada akak. Saya menawarkan Insurans AIA SOLITAIRE PA (II).Insurans ini akan membantu akak sekelu--.’’
‘’Minta maaf dik..akak tak berminatlah nak membeli insurans.Akak dan suami tak mampu. Maaf ya dik..’’ sampuk wanita itu sambil melambai-melambaikan tapak tangannya ke mukaku.
Dadaku berombak-ombak.Mukaku berubah menjadi merah padam.Aku hanya ingin mencarut kata-kata hina padanya.Panasnya hatiku menggoncang sekelumit keimanan yang bertapak di pintu kalbuku. Sungguh biadab kakak ini!
‘’ Hmm…betul ke Akak tidak mampu nak membeli insurans? Ada langsir mewah, set karaoke mewah. Akak nak menipu pun agak-agak lah kak. Inilah orang melayu, suka pentingkan barang-barang mewah yang tidak diperlukan! Bila nak uruskan hal kewangan,duit tiba-tiba tak cukup,’’ marah aku dengan lancang.
‘’Kurang ajar! Awak tidak ada hak nak pandang serong terhadap saya. Suami akak hanya berpendapatan $2500 sebulan yang perlu menampung kami lima beranak. Tolong jangan main cakap sahaja tanpa menyelidik!’’ pekik wanita itu sambil menghempaskan pintu rumahnya.
‘’ Cis! Macam aku mengharap sangat dengan duit dia.Akhirnya kau yang akan rugi!’’ jerit aku sambil mengangkat kaki.
AHHHH! Aku kesal ke Jalan Kukuh. Nampaknya, rezekiku bukan di sini.
------
Lima minggu kemudian, aku mendapat panggilan daripada nombor yang tidak kukenali.
‘’Nak tolong nak..Rumah nenek terbakar nak..Tolongg nakk..tolon--!!’’ teriak nenek itu sambil menangis teresak-esak.
‘’Titt..titt.titt…’’ panggilan itu termati.
YA ALLAH...Aku terpaku ketakutan.Nafasku dirundung kesesakan. Badai kebimbangan merempuh-rempuh hatiku. Kepalaku sakit digayuti keserabutan. Aku pasti suara orang tua di corong telefon tadi ialah nenek yang telah aku temui di Jalan Kukuh!.Bagaimana keadaan nenek sekarang? Pelbagai senario-senario tragik menghantui kotak mindaku.
------
Api menjilat garang.Percikan merah menyala telah merebak ke semua unit di tingkat dua blok 200, Jalan Kukuh. Kepulan asap yang tebal menyesakkan dadaku. Ahli bomba bergegas memancut air dan menyelamatkan mangsa.
‘’ Astaghfirullahalazim..bu..bu..bukankah itu rumah nenek yang telah aku kunjungi dahulu?’’ kataku dengan panik. Tetapi mengapa nenek menelefon aku? Kasihan nenek! Mungkin dia buntu mencari pertolongan. Mungkin apabila insiden kebakaran berlaku,dia ternampak brosur yang aku kongsi dengannya.
‘’Nek...nek tak apa-apa? Maaf Aina datang lambat nek..’’ rayuku dengan nada yang lembut sambil membelai tangannya yang kurus berkedut. Nenek dan cucunya sedang menangis di kolong blok mengenangkan rumah mereka yang sudah rentung. Hangus semuanya, musnah segalanya!
’’ Aina...nenek tidak ada insurans rumah nak. Harta nenek musnah semuanya! Nenek tidak boleh tuntut satu sen pun. Ahli bomba telah menyelidik punca api. Kebakaran berlaku akibat wayar-wayar lama yang rosak,” jelas nenek teresak-esak.
Nenek buntu nak! Anak tahu kan tentang perkara-perkara insurans ini? Tolong nenek nak..tolong kami..’’ nenek merayu-rayu sambil memegang erat tanganku.
Rayuan nenek bagaikan sembilu menghiris tangkai hatiku. Tidak aku sangka nenek menganggapku sebagai harapan yang menyinari makam derita mereka. Namun kini, aku tidak tahu apa yang patut aku lakukan kerana nenek bukan pelanggan aku. Nenek tidak ada apa-apa insurans. Aku perlukan jawapan!
------
Hatiku tergerak untuk mengambil tahu tentang jiran nenek yang telah mengundang kemarahanku. Aku melihat makcik tersebut sedang menenangkan anak-anaknya yang sedang menangis ketakutan.
‘’Makcik..saya ingin meminta maaf jika kehadiran saya ini tidak membuat makcik selesa..Saya datang ke sini hanya untuk melihat situasi makcik sekeluarga.Saya harap kedatangan saya dapat makcik faham..’’pujuk aku dengan nada yang lembut sambil mengukirkan senyuman tipis.
Aku pun jelaskan bahawa aku rasa sangat serba salah kerana telah menghakimi keluarganya. Benar kata makcik...aku tidak berhak untuk membuat apa-apa andaian tanpa asas. Hanya kerana mementingkan keuntungan kerjaya, aku gagal untuk bersimpati dengan realiti kehidupan keluarganya. Aku sendiri sudah termakan stereotaip yang memfitnah masyarakatku sendiri.
‘’Tak apa lah nak...makcik buntu sekarang...makcik sepatutnya cuba sedaya upaya untuk mengetepikan wang bagi insurans rumah. Hendak seribu daya, taknak seribu dalih’’ luah wanita itu sambil memegang bahuku.
Melihat keadaan kedua-dua keluarga itu membuat aku terfikir, berapa berat mata memandang,berat lagi bahu memikul. Ya betul, aku rasa simpati melihat mereka, tetapi sesusah-susah aku melihat penderitaan mereka,tentulah tidak sama dengan penanggungan mereka yang menderita!
--------
‘’ Sedia menghadapi yang akan tiba
Takkan berundur walau seketika
Aku terus berjalan mencari sinar baru ’’
Lagu ‘’Luluh’’ yang dinyanyikan oleh Khai Bahar berkumandang dari corong radio keretaku. Aku teringat akan pesanan ibu. Kejayaan sebenar adalah apabila kita dapat berbakti kepada masyarakat!
Patutkah aku merebut peluang ini? Patutkah aku merebut peluang ini untuk berbakti kepada masyarakat Jalan Kukuh? Aku yakin aku boleh membantu mereka!
Aku telah mendapat buah fikiran untuk mengumpulkan dana bagi menolong keluarga-keluarga susah untuk melangsaikan yuran bulanan insurans-insurans yang bakal mereka ambil. Mereka tidak sepatutnya diabaikan hanya kerana mereka tidak mampu membeli insurans. Malapetaka tidak mengenal kelas atau kedudukan. Penduduk-penduduk di Jalan Kukuh berhak untuk melindungi diri mereka!
Malah, badan melayu Mendaki telah bersetuju untuk mengendalikan kelas perancangan kewangan secara percuma untuk semua penduduk Jalan Kukuh. Isu perancangan kewangan yang bermasalah bukan masalah yang hanya dihadapi oleh masyarakat melayu. Hakikatnya, semua keluarga yang berpendapatan rendah akan mengalami kesusahan untuk memastikan yang mereka mempunyai wang simpanan yang cukup untuk hari-hari susah. Pihak berkuasa tidak boleh hanya melihat dan mengkritik tanpa menghulurkan bantuan tambahan yang diperlukan.
“Syabas Aina! Saya kagum dengan inisiatif ‘PROJEK TERBIT’ awak. Awak faham yang keuntungan bukanlah segala-galanya. Sifat humanis dan empati perlu dititikberatkan juga. Pihak AIA telah bersetuju untuk memberikan apa jua sokongan logistik yang awak perlukan. Saya harap awak akan berjaya mendapatkan sebanyak mungkin dana untuk menolong Makcik Dijah dan masyarakat Jalan Kukuh,” puji Tuan Hafiz.
---
4 bulan sudah berlalu semenjak trajedi kebakaran di Jalan Kukuh. Alhamdullilah, PROJEK TERBIT telah berjaya untuk mengutip derma sebanyak $500 ribu dolar untuk penduduk Jalan Kukuh.
‘’Nenek..Aina sudah berjaya mengutip derma sebanyak $500 ribu dolar untuk penduduk di sini! Dana yang dikumpulkan akan digunakan untuk membeli insurans asas seperti insurans rumah dan insurans kesihatan untuk setiap penduduk di blok-blok sewa ini, “ jelasku dengan ghairah.
“Terima kasih, Aina. Terima kasih kerana meyakinkan makcik yang masih ada pihak yang peka akan nasib golongan susah seperti kami ini. Jangan kata tak mampu, hal perihal pendaftaran pun makcik tak berapa faham. InsyaAllah dengan pakej insurans yang bakal kami dapat, kami tidak akan mengulangi kesilapan yang sama. Bak pepatah melayu, pisang tidak berbuah dua kali..’’ucap nenek sambil memelukku.
Tiba-tiba, bahuku ditepuk dengan lembut. “Ya Allah terima kasih Aina.. kami tidak akan lupa jasa awak..hutang emas dapat dibayar,hutang budi dibawa mati! Akak dan suami pun dah mula ambil kursus kewangan Mendaki .Ruapa-rupanya selama ini wang bulanan kami sudah mencukupi. Kami hanya perlu mengutamakan perkara-perkara yang lebih penting, ’’ jelas jiran nenek dengan mata yang berair.
Aku terharu akan rasa respons mereka. Mendengar luahan hati mereka membuatku sedar bahawa hidup kami tidak akan selalunya senang. Kadangkala,hidup akan penuh pancaroba. Bak peribahasa melayu,air pun ada pasang surutnya.
​
------
‘’Ya Allah maafkanlah segala kesalahan aku di dunia ini.
Maafkanlah aku jika aku telah menguris hati seseorang.
Ya Allah terima kasih kerana menunjukku erti kesusahan.
Maafkanlah aku hamba kau yang kerdil ini.Ya Allah’’
Pada malam yang sejuk dan sunyi itu,aku bersujud dan insaf kepadaNya.Aku akui sikap bongkak aku sebelum ini telah melalaikan aku dari kesusahan realiti kehidupan yang dilalui masyarakatku sendiri.Aku bertekad, aku tidak akan mengulangi kesilapanku lagi. Aku bertekad Ya Allah.
Ibu, Aina harap Aina sudah menjadi manusia berjaya di dalam mata ibu!