top of page

Naib Juara Cerpen Kategori 'B' Bisikan Pena 2022

DSC_0136.jpg

Papilio

 

10 Oktober 2019

 

“Jadi, bagaimana perasaan kamu hari ini?” 

 

Gadis itu hanya dapat memandang kembali, matanya berkelip-kelip seakan-akan arus fikirannya terhenti. 

 

Berasa kurang selesa dengan pandangan pakar psikologi yang kian sabar menunggu di hadapannya, gadis itu mula menggelisah di kerusi plastiknya dan melarikan pandangannya kepada suatu lipatan pada skirtnya. Matanya mengerling ke kanan dan kiri sambil dia memerah otaknya dalam usaha untuk mencari jawapan yang tepat. Peluh mula membasahi lehernya apabila gadis itu membuka mulutnya untuk mengatakan sesuatu. Namun, tidak kira betapa kerasnya dia mencuba, tiada perkataan yang dapat keluar daripadanya. Matanya mula  terasa basah dengan kekecewaan - kecewa kerana dia hanya mampu duduk membisu di  kerusi plastik itu, tak tahu nak cakap apa. 

 

Ingin sekali dia menceritakan pekung di dadanya tetapi macam mana mau meluahkan perasaan yang bagaikan sambal goreng ni? Bercelaru sangat. 

 

Apabila melihat air jernih mengalir di pipinya, pakar itu segera bangun dari tempat duduknya dan menghampiri gadis itu, segala kertas nota dan pen yang dipegangnya tadi dibiarkan terlupa di atas meja. Sambil mencangkung, pakar itu membelai tangan gadis itu yang putih pucat akibat digenggam dengan terlalu kuat. 

 

"Tak apa-apa nak," cakap pakar itu, suaranya lembut dan menenangkan, "Makcik faham bahawa kamu sedang menghadapi masa yang sukar. Makcik ada di sini untuk kamu. Tak apa-apa nak." Gadis itu perlahan-lahan mendongak ke arah pakar itu, air matanya masih mengelinang sambil dia memberi perhatian kepada perempuan yang masih lagi membelai tangannya itu. 

 

Cantik.

 

Gaun putih yang dipakainya tidak dapat menyembunyikan badannya yang langsing manakala bahagian tubuhnya yang tidak ditutupi gaun itu mempamerkan kulitnya yang putih dan cerah bak puteri salji. Rambutnya dipintal menjadi sanggul kemas, hitam pekat kecuali beberapa belang kelabu yang menghiasi langit malam. Walaupun sudah separuh baya, beliau masih kelihatan muda, terutama dengan matanya yang bersinar dengan semacam kepolosan yang hanya boleh didapati pada kanak-kanak. Lebih-lebih lagi,  selain kedutan mata, tidak ada kedutan lain yang mencemari paras mukanya - suatu perkara yang patut membuat wanita sejagat raya menghijau dengan cemburu. 

 

Cantik. Sungguh cantik. 

 

"Apakah kamu tidak apa-apa?" 

 

Suaranya memecah lamunan gadis itu dan membawanya kembali ke realiti. Gadis itu mengelipkan matanya secara perlahan sehingga perempuan yang mencangkung di hadapannya tidak lagi merupakan sebuah gumpalan nan kabur. 

 

"Apakah kamu tidak apa-apa sekarang?" Pakar itu bertanya lagi, suaranya berbaur kerisauan terhadap pasiennya. Apabila gadis itu hendak menjawab, tekaknya terasa tercekik sehingga dia hanya mampu mengangguk. Pakar cantik itu lalu berdiri dan kembali ke tempat duduknya di belakang meja kecil yang memisahkan kedua perempuan itu, tanpa sedar meninggalkan gadis itu mendambakan kemesraan dan sentuhan hangatnya. 

 

Sambil membelek beberapa keping kertas, pakar itu bertanya kepada gadis itu, "Daripada pemerhatian saya, saya faham bahawa kamu menghadapi masalah bercakap. Betul ke?"

 

Terkedu, gadis itu tidak tahu hendak membalas apa. Tidak tergagah lidahnya sehingga dia hanya mampu mengganguk.

 

"Apabila kamu tengah bercakap, adakah kamu sering gagap?"

 

Angguk.

 

"Dan kamu dah mengalami masalah ini sejak kamu dilahirkan?"

 

Angguk.

 

"Hmm," pakar itu mengangguk sambil mengusap dagunya, pen dalam genggamannya sentiasa menari di atas kertas. Apa yang beliau tulis pun gadis itu tak tahu. Paras mukanya sih cantik jelita tetapi alamak tulisan tangannya… Bak cakar ayam! Macam mana hendak membaca. 

 

Goresan pena di atas kertas terus berbunyi tanpa putus, perhatian sang pakar tertumpu hanya kepada dakwat hitam yang kian mencemari kertas putih itu. Berasa janggal dengan kesepian yang amat menyeksa, gadis itu kembali menggelisah di kerusi plastiknya sambil bermain dengan jari-jemarinya untuk membunuh masa. 

 

"Hahh..." Selepas beberapa minit berdiam diri, pakar itu tiba-tiba menghela nafas yang panjang. Penat berfikir lagaknya. Beliau mengambil kembali nota-nota itu di tangannya dan membaca semula apa sahaja yang ditulisnya. Iaitu, jika beliau boleh membaca tulisan tangannya sendiri yang lebih menyerupai lukisan daripada perkataan. 

 

"Hahh…kamu ni mempunyai perjalanan yang jauh," pakar itu menggumam sambil menggelengkan kepalanya sedikit. "Namun tak mengapa! Kita akan cuba perlahan-lahan ya. Kalau kamu penat bilang sahaja ke makcik. Makcik akan biarkan kamu tidur sebentar di sana." Pakar itu berkata, jarinya menunjuk ke arah katil kecil di sudut bilik, cadarnya masih belum dikemas daripada pesakit sebelumnya. 

 

Dengan itu, pakar cantik itu tersenyum menampakkan barisan gigi yang asmaradanta. Sungguh tulen senyumannya sehinggakan gadis itu tidak dapat menahan senyumannya sendiri, walaupun masih agak malu. 

 

"Baiklah, sebelum kita mula, mari kita perkenalkan diri dahulu," katanya sambil bersandar pada kerusinya. 

 

"Bolehkah makcik tahu nama kamu?" 

 

Untuk kali ketiga, gadis itu membuka bicara yang terkunci sejak tadi. 

 

"A-aisha. Na-nama sa-saya Aisha." Gadis itu menjawab tergagap-gagap dengan suaranya yang sedikit serak. 

 

Pakar itu mengulum senyuman tipis apabila melihat usaha pasiennya untuk bercakap. Baguslah, ada kemajuan sikit. "Salam Aisha, makcik amat gembira dapat bertemu dengan kamu." 

 

"Nama makcik ialah …"

​

​

10 Oktober 2020

 

Maya Khairizal.

 

Itulah nama yang dicetak tebal di plat yang tergantung di pintu. 

 

Semua orang tahu nama itu. Bagaimana tidak? Beliau ialah pakar psikiatri kanak-kanak terkenal yang telah memenangi begitu banyak anugerah, baik di peringkat nasional mahupun antarabangsa. Bukan sahaja seorang genius dalam bidangnya, beliau juga terkenal akan paras kecantikannya yang orang cakap cantik macam dewi. 

 

Nampaknya, beliau bukan sahaja cantik di luar, malah hati beliau jauh lebih cantik. Cik Maya bak makhluk paling sempurna di muka bumi ini, dengan parasnya yang seanggun dewi dan hati sesuci malaikat. 

 

Itu merupakan satu lagi kesimpulan yang dapat disahkan oleh Aisha setelah menziarahinya selama setahun penuh. Sepanjang sesi, beliau sentiasa bersabar dengan kegagapan Aisha dan tidak pernah menilai ketidakmampuannya. Beliau juga selalu menggalakkan Aisha untuk terus mencuba, tidak pernah jemu memberi pujian kepada Aisha atas usahanya. 

 

Berdiri di hadapan pintu, Aisha hairan. Bagaimana seseorang boleh menjadi begitu sempurna?

 

Tuk…Tuk…Tuk…

 

"Silakan masuk!" Maya memanggil dari belakang pintu dengan suara lembutnya itu. 

 

Aisha lalu memulas pemegang pintu dan melangkah masuk, matanya secara automatik menjangkau ke sekitar. Tidak banyak yang berubah sejak pertemuan pertama mereka. Kerusi plastik yang dia duduki satu tahun yang lalu masih ada bersama-sama dengan meja kecil yang masih lagi berserakan dengan pelbagai kertas nota dan pen. Dan Cik Maya, si pakar psikiatri yang jelita, masih cantik dan muda. 

 

Hanya sahaja ada beberapa tambahan belang kelabu pada rambutnya. Namun Aisha fikir ia hanya membuatkan dia kelihatan lebih elegan. 

 

"Pa-pagi makcik. Aisha d-dah datang." 

 

“Eh, masuklah! Mari duduk!” Cik Maya mempelawanya, kepalanya mendongak sebentar untuk melemparkan senyuman kecil kepada Aisha sebelum perhatiannya kembali kepada kad-kad yang ada di tangannya. 

 

Aisha menurut, kakinya bergerak macam autopilot semasa dia berjalan kembali ke kerusi plastiknya sementara Cik Maya terus merombak kad-kad itu. Sekali di tempat duduknya, mata Aisha terpana dengan rasa ingin tahu dan dia pun bertanya, “Mak-makcik buat a-apa?” 

 

“Oh, ini?” Cik Maya termenung, perhatiannya masih lagi tertumpu pada kad-kad. “Ini hanyalah beberapa kad imbas abjad yang makcik reka untuk membantu pesakit makcik yang dyslexia. Cantik tak?” Cik Maya bertanya sambil menghulurkan kad beraneka warna itu kepada Aisha. 

 

Aisha hanya tersenyum. Dia tidak sampai hati mengatakan bahawa tiada siapa yang dapat membaca tulisan tangannya, apatah lagi mereka yang mempunyai masalah membaca. 

 

“I-iya… Makcik me-memang pandai melu-lukis.” 

 

Maya tersenyum puas dengan jawapan Aisha lalu meletakkan kad-kad itu di atas meja. Beliau kemudian mengambil beberapa kertas dan pen, tangannya bersedia untuk menulis dan memulakan sesi hari itu. 

 

“Jadi, Aisha, bagaimana perasaan kamu hari ini?” 

 

.

.

.

 

“Ah, cam. Makcik terlupa menulis tarikh untuk laporan hari ini!” Maya tiba-tiba menjerit, mengejutkan Aisha yang tengah bercakap tentang hobinya. “Maaf ya, nak,” pakar itu cepat menambah apabila menyedari bahawa dia telah menyampuk ucapan Aisha, tampak ikhlas dengan permintaan maafnya.

 

“Oh, ti-tidak me-mengapa, makcik.” 

 

“Aisha ini memang anak yang baik,” Cik Maya memberi Aisha sebuah thumbs up sebelum dahinya berkerut kebingungan, “Hmm, hari ini tarikh apa ya?” 

 

“10 Ok-oktober, makcik,” Aisha cadangkan. Gadis itu teragak-agak, berfikir sama ada mahu mengatakan ini atau tidak, “Ha-hari ini ju-juga hari la-lahir saya.” 

 

Cik Maya serta-merta mendongak dari kertas kerjanya. “Wah, selamat hari jadi nak!” Cik Maya mengucapkan dengan ceria sambil tersengih.

 

Namun dalam sekejap, kebahagiaan itu terhapus dari wajahnya. Hilang sudah senyumannya dan matanya yang lawa menjadi kusam. “Saya rasa ada seseorang lagi yang mempunyai hari lahir yang sama…” Pakar itu bergumam, suaranya terlalu senyap untuk didengari. 

 

“A-apa yang makcik ka-kata?” Tanya Aisha, sedikit keliru dengan perubahan suasana yang barusan terjadi.

 

Maya tersentak di tempat duduknya seakan-akan dia baru teringat bahawa dia tidak keseorangan. “Ah, tidak mengapa. Makcik hanya-” 

 

Tuk…Tuk…Tuk…

 

Percakapan Makcik tiba-tiba terpotong oleh ketukan perlahan pintu bilik. 

 

“Permisi, sekarang waktunya untuk rehat,” Terdengar satu suara feminin dari luar. Seorang jururawat nampaknya. 

 

“Ba-baik, Aisha ti-tidak mahu me-menganggu masa rehat mak-makcik. Aisha pu-pulang dulu ya.” Aisha berdiri dari kerusi plastiknya, memastikan untuk mengambil semua barangnya lalu terus menghayunkan kaki berjalan keluar.

 

Gadis itu pun berlalu. Sebaik saja Aisha menutup pintu, barulah lamunan Cik Maya terbang pergi. Bayang-bayang kesedihan dan kepiluan masih tercalit di wajahnya

 

“Ah, iya…” 

​
 

10 Oktober 2021

 

“Apakah ini, Aisha?” Tanya Cik Maya, sebuah loket rama-rama berwarna perak berkilat duduk di atas tapak tangannya yang terbuka. 

 

“I-itu hanya hadiah ke-kecil dari Aisha. Te-terima lah makcik.” Aisha balas, sambil menghulurkan tangannya untuk menutup genggaman pakar psikiatri itu. 

 

Cik Maya hendak membantah. Bagaimana dia boleh menerima hadiah yang begitu berharga? Pakar itu bersedia sepenuhnya untuk memberikan loket itu kembali. Aisha, merasakan bahawa Cik Maya akan menolak pemberiannya, cepat-cepat menambah, “To-tolong terimalah makcik. Ang-anggap sahaja se-sebagai tanda peng-penghargaan dan te-terima kasih Aisha atas bim-bimbingan makcik.” 

 

Memandang wajah Cik Maya yang masih bergayut setompok kebimbangan, Aisha menolak loket itu ke arah Maya. "Ayuh… te-terima sahaja lah," Aisha merayu sekali lagi, dia pun mencebik bibirnya sedikit.

 

"Oh, baiklah. Makcik 'kan terima." Cik Maya akhirnya mengalah, menjeling ke arah Aisha kerana telah memaksanya untuk mengambilnya. Walaupun sepasang mata sinis dan dingin ditujukan ke arahnya, Aisha tahu bahawa Cik Maya diam-diam menyembunyikan kegembiraan dan rasa syukurnya. 

 

Aisha menyibukkan diri dengan lipatan pada skirtnya dan pura-pura tidak perasan bila Cik Maya, dengan mata yang berbinar-binar, mengagumi loket itu di bawah cahaya. Sinar dari lampu hanya dipantulkan sehingga loket rama-rama yang dipegangnya menjadi lebih bersinar. Gadis itu hanya boleh menahan ketawa apabila melihat keterujaan pakar separuh baya itu yang bak kanak-kanak dengan mainan kegemarannya. 

 

Tiba-tiba, awan mendung bergayutan di pelipis mata Aisha. Ah, tidak. Jangan menangis Aisha. Jangan disini. Jangan sekarang. 

 

Ya, hadiah itu memang untuk menandakan rasa terima kasih Aisha kepada pakar psikiatrinya tetapi ia juga merupakan hadiah terakhir yang dia dapat berikan. Sebab hari ini adalah hari terakhir Aisha boleh melawat Cik Maya sebelum dirinya pergi ke luar negara dan tidak dapat mengunjunginya lagi.

 

Hari ini merupakan hari terakhir mereka bersama. 

 

Jangan menangis Aisha. Jangan disini. Jangan sekarang. 

 

Aisha cuba menahan air matanya tetapi matanya tetap bertambah kelam. Gadis itu lalu cepat-cepat mengelap matanya yang mula bergenang. Mudah-mudahan, Cik Maya tidak menghiraukannya.

 

Jangan menangis Aisha. Jangan disini. Jangan sekarang. 

 

Melakar sebuah senyuman palsu di wajahnya, dia kembali memandang Cik Maya yang masih sibuk mengagumi loket baharunya. Walaupun senyumannya tidak dapat menutup mendung yang menyeliputi wajahnya, nampaknya Cik Maya tidak perasan. 

 

Baguslah. Biarkan salah seorang daripada mereka menikmati hari ini.

 

"Ma-makcik, Aisha pe-pergi dulu ya. Te-terima kasih untuk se-segala-galanya," Aisha bangun dari tempat duduknya, ucapannya bercampur gagap dan cegukan. Cik Maya akhirnya mengalihkan pandangannya dari loket rama-rama itu untuk melihat Aisha yang sudah berjalan menuju ke pintu.

 

"Oh sudah tiba masanya?" Cik Maya sekilas memandang jam digital di atas mejanya. "Alamak, baiklah kalau begitu. Terima kasih atas hadiahnya ya, Aisha. Makcik jumpa lagi minggu depan, okay?" 

 

Aisha tidak boleh mempercayai suaranya untuk bekerja tanpa menangis teresak-esak jadi dia hanya menggangguk lalu menutup pintu di belakangnya. 

 

Barulah bendungan air matanya pecah.

 

.

.

.

 

Perhatian Maya masih sahaja tertumpu kepada loket rama-rama itu, jari-jemarinya yang ramping tengah sibuk menjejaki garisan sayap keperakan itu sehingga dia perasan bahawa terdapat engsel pada sayapnya. Penuh dengan rasa ingin tahu, dia baru sahaja hendak membuka loket apabila dia terdengar bunyi kekecohan di luar. 

 

"- apa yang kamu buat -" 

 

" - tapi nenek -"

 

" - BODOH SANGAT!!! Tidakkah kamu sedar bahawa perbuatan kamu ni hanya akan memperburuk keadaannya?\"

 

" - tapi - “ 

 

" - dia telah melupakan segala-galanya. SEGALANYA Aisha. Faham tak? Dia tidak mengingati kamu ataupun abang kamu yang mati kerana diabaikan oleh dia. Dia bahkan tidak ingat yang kamu datang minggu lepas. Dia tidak akan pernah ingat - "

 

" - biar Aisha jelaskan - "

 

" - dan apa? Kamu malah berpura-pura gagap hanya untuk bercakap dengannya? Tak tahukah kamu betapa teruk kesihatan mentalnya akibat tindakan bodoh kamu?"

 

" … “

 

"Sudah lebih 15 tahun, Aisha. Lepaskan dia."

 

"Tapi…tapi dia ibuku…" 

 

Pling!

 

Bunyi berdenting itu menyentap perhatian kedua-dua wanita yang barusan buat ribut. Seketika, rasa gelisah menjamah kedua hati mereka apabila mereka mendapati penonton mereka. 

 

"Maya -" Wanita tua itu mula berjalan gontai ke arahnya. 

 

“Ti-tidak. Jangan mendekat!” Maya menjerit sambil menghulurkan tangannya yang terketar-ketar ke arah mereka. Matanya yang terbeliak-liak dan mukanya yang pucat lesi bagaikan ditoreh tiada berdarah membuatkan dia kelihatan gila.

 

“Ibu.. uhm makcik-“ Kini Aisha melangkah ke hadapan dalam usaha untuk menenangkan Maya yang mula menyelak rambutnya dengan agresif. 

 

“Siapakah kalian?! Apa yang aku tidak ingat?! APA?!!!” Suaranya terus ditinggikan sampai suaranya menikam gegendang telinga kedua wanita itu. 

 

Tak ada jawapan.

 

Maya jatuh duduk bersimpuh sambil menundukkan kepalanya ke lantai, kepalanya berdenyut-denyut, anak matanya berpinar-pinar. Dadanya sebak bagaikan terisi air sampai ke tenggorok dan air mata mula tumpah dari tasik bundar. 

 

“Siapakah aku?” 

 

Kedua-dua wanita itu tetap mendiamkan diri.

 

Jantungnya bergoncang bagaikan mahu memecahkan rangka dadanya dan Maya tertanya-tanya sama ada hatinya akan pecah. Soalan demi soalan bersilih-ganti dan berlegar-legar di ruang benak Maya sehingga kepalanya sakit digayuti keserabutan. Dia termangu-mangu tidak mengerti. 

 

Siapakah dia? 

 

Maya tidak menghiraukan darah yang mula menitik dari hidungnya. Telinganya pekak sehingga dia tidak dapat mendengar Aisha yang menjerit namanya. Dia bahkan tidak dapat merasakan apa-apa apabila jururawat membawanya kembali ke dalam bilik pejabatnya - bilik rawatannya. 

 

Hanya ada satu soalan yang sentiasa memenuhi kotak fikirannya. Hanya satu soalan itu yang  bertalu-talu datang dan pergi dalam fikirannya

 

Siapakah dia? Siapakah dia? Siapakah dia?

 

Dunia kecerahan kini telah diliputi awan gelap dan Maya hilang kesedaran. 


 

10 Oktober 2051

 

Maya Khairizal berbaring di atas katilnya, sekujur badannya tersandar lesu tanpa gerak. 

 

Jari-jemarinya yang kini berkedut tengah menjejaki garisan loketnya yang berbentuk rama-rama. Dia perlahan-lahan mengeluarkannya dari lehernya dan kembali mengagumi rama-rama keperakan yang ada di tangannya. Ia masih cantik seperti dahulu.

 

Jari-jemarinya mendapati engselnya dan dia membuka loket itu. Matanya tertumpu. 

 

Di situ, terletak sehelai gambar. Gambar dia semasa muda tengah tersenyum dan tertawa, rambut panjangnya berjuntai berserabut menutup mukanya. 

 

Jelas, Maya Khairizal dalam gambar itu sangatlah cantik. Akan tetapi, yang paling menarik perhatiannya ialah dua anak kecil yang digendongnya. Satu perempuan dan satu lelaki. 

 

Dia tidak tahu siapa mereka. 

 

Dia cuba menepis-nepis ingatannya tetapi kotak fikirannya tidak mampu berbuat begitu. Namun demikian, jauh di sudut hatinya, bercambah kasih yang amat mendalam terhadap kedua anak yang tidak bernama itu.

 

Hati yang tadinya kosong dan hampa kini terasa hangat sebab ada dua ekor rama-rama yang seita menemaninya - sentiasa menerangi hatinya dalam sisa hidupnya merangkul kegelapan dunia ini.

bottom of page