
Naib Juara Puisi Bisikan Pena 2021

SIDANG
Melayari Bahtera Kehidupan : Hanyut
​
A(Syair):
tenggelam timbul, masa depan kami
dipukul gelombang, terkapailah lagi
apakah cukup mengharap ehsan budi?
apakah sifat itu yang mengaburi
SEMUA:
Dayung sampan, dayung-dayung sampan
dayung mendayung sampan sampai ke Singapura.
A:
Eh!
B:
Eh?
C:
Eh-Eh!
B:
Eh! Kenapa ah susah sangat kita orang melayu nak maju jaya?
C:
Eh! Kau tahu tak menurut kajian, 14 600 warga Singapura berbangsa melayu kini hidup dalam kadar pendapatan rendah!
A:
Eh! Kau tahu tak, menurut seorang penyelidik NUS, Proffessor Lai Ah Eng, ketidak seimbangan pendapatan ini semua adalah akibat dari polisi kerajaan yang membawa masuk golongan pekerja luar!
B & C :
Eh?
A:
susun cepat semua kerusi
malam ini, setiap kerusi-kerusi ini akan jadi saksi pada tiap suara
suara-suara yang tidak lagi senang duduk sedangkan yang lain berlumba
cepat susun, agihkan nama dan aturkan ikut nama siapa duduk di mana...
B:
(Watak Pak Ali)
mana? Mana? Mana Sokongan yang dijanji?
Pakcik ni, tiap-tiap hari duduk depan pagar rumah menanti
pakcik bukan malas! Tapi... Pakcik dah tua, kerja luar sana semua minta Pakcik tingkatkan diri
mana boleh lagi, otak Pakcik dah tak fungsi lagi, dah tak boleh serap lagi...
C:
(Watak Aunty Eli)
lagi? Lagi? lagi? lagi-lagi..merayu lagi...
malu-lah pada jiran tetangga nanti
sampai bila asyik 'nak harapkan simpati? kukuhkan mentaliti!
B:
(Watak Cikgu Siti)
DAN... Dan...dan! Sehingga kini masih belum lagi dikenalpasti
mengapa masyarakat kita adalah statistik yang masih mengejar lagi?
Pelajar kita cuma pandai berseni, bernyanyi
jurang ekonomi makin ketara, kenapa tiada siapa peduli?
Eh dah kahwin nanti, susah tau nak beli rumah HDB…
C:
(Watak Pak Ajis)
Tuan menampi di tepian sawah
awas usah tertumpah padinya
berhati-hati dalam memilih langkah
itu amanah pada nusa dan bangsa
A:
(Watak Pengerusi)
jadi.... kian jelas ruang duduk penduduk
nak dayung, tak sanggup lagi bercekal tunduk
nak renang, cuma mampu terapung sampai esok
nak sambut hulur, ego masih bertanduk
C:
(Watak Aunty Eli)
Hey! What you mean ego bertanduk? is it ego a kerbau? Or Goat?
​
A:
(Watak Pengerusi)
kalau diikutkan kajian yang dijalankan oleh Yayasan Mendaki...
C:
(Watak Aunty Eli)
Huh?
A:
(Watak Pengerusi)
Council of Development of Singapore Malay Muslim Community
B & C:
(Aunty Eli & Pak Ali)
Oh!
A:
(Watak Pengerusi)
kajian itu melaporkan, wujudnya perasaan malu di kalangan warga melayu Singapura
yang tidak mahu diketahui hidup mereka dalam keadaan miskin itulah yang menyebabkan
dana bantuan tidak sampai kepada pelajar yang memerlukan!
B:
(Watak Pak Ali)
Ah itu sebablah pakcik tak malu!
A:
(Watak Pengerusi)
padang tempat asalnya belalang
bukan katak yang bergerak sorong
biar bertempat tindak seseorang
barulah tidak dipandang serong
B & C:
Tuanku! Ombak itu makin mengganas!
A:
(Watak Sang Nila Utama- Syair)
andai berterusan badai melanda
alamat karamlah bahtera jua
Turutlah seperti Sang Nila Utama
Dibuang segala jua mahkota-nya