
Shaneez Elisya Adriyanna binte Shahriman
Sekolah Menengah Changkat Changi
Pemenang Ketiga Cerpen Kategori 'B' Bisikan Pena 2021

Langit yang kelihatan cerah tiba-tiba mendung tatkala diselaputi awan. Ia seakan-akan memahami perasaanku yang berkecamuk ketika itu. Aku baru menerima khabar tentang pelantikan jawatan baharuku. Aku dilantik sebagai seorang wakil rakyat bagi kawasan Bedok. Namun, khabar berita yang aku nantikan selama ini tidak begitu menggembirakan hati ini.
Kenapa Bedok? Walhal, aku menetap nun jauh di Bukit Timah. Mereka memberikan alasan bahawa khidmat aku diperlukan di Bedok kerana penduduk di sana memerlukan seorang wakil rakyat yang berbangsa Melayu.
Ya. Memang betul aku Melayu tetapi layakkah aku mewakili masyarakat Melayu di Singapura? Aku sendiri jarang bergaul dengan masyarakat aku sendiri.
Adakah kerana majoriti penduduk di kawasan tersebut terdiri daripada bangsa Melayu dan mereka mengharapkan aku untuk membantu masyarakatku sendiri? Masyarakat aku yang sudah lama aku pinggirkan kerana mereka kolot, miskin dan malas untuk meraih cita-cita tinggi.
Bertubi-tubi soalan mula menyerang mindaku. Walaupun aku seorang yang berbangsa Melayu yang tinggal di daerah Bukit Timah, aku sebenarnya berasa malu dan marah kerana aku sebenarnya tidak suka akan tanggapan masyarakat lain terhadap bangsa aku sendiri. Terasa malu setiap kali rakan-rakanku yang berbangsa lain sengaja mengejekku apabila masuk perbualan tentang Melayu. Mereka tahu aku pantang dikategorikan sama dengan bangsa Melayu lain.
Secara umumnya aku merasakan bahawa orang Melayu malas dan tidak berusaha untuk mencapai kejayaan. Sejak kecil lagi, aku dibesarkan dalam keluarga yang mewah. Setiap kehendakku ibu dan bapaku akan cuba mendapatkannya. Aku ditatang bagai minyak yang penuh. Aku jarang bercampur dengan orang Melayu kerana aku percaya hidup kita perlu dikelilingi oleh golongan masyarakat yang boleh menaikkan taraf hidup dan status kita. Prinsip hidup ayah itulah yang aku percaya dan pegang kuat sehingga aku dewasa. Sudah tentunya hal ini telah membawa aku dan keluargaku mencapai kejayaan dalam hidup.
Ibuku merupakan seorang pengetua di Institusi Raffles manakala bapaku pula seorang ahli perniagaan yang berjaya. Oleh itu, keluargaku tidak pernah menghadapi masalah kewangan dan sebaliknya, kami sentiasa mempunyai wang yang melimpah-limpah banyaknya.
​
Walaupun aku sekarang bekerja sebagai seorang wakil rakyat, aku tidak pernah bergaul dengan orang Melayu. Manakan tidak. Estet perumahan di bawah jagaanku semua di kawasan yang tiada isu kemiskinan atau berpendapatan rendah. Aku sering dikelilingi orang yang berbangsa Cina yang kaya atau berjaya. Jika ada sekalipun orang Melayu, mereka juga berada dalam kalangan status seperti aku. Tidak malas. Tidak meminta. Sangat berjaya. Aku berasa bersyukur kerana tidak dilabel atau dicemuh masyarakat - ‘Orang Melayu malas‘. Secara hakikatnya, aku juga mempunyai kepercayaan sebegitu dan merasakan mereka tidak setaraf dengan aku.
Sudah bertahun-tahun aku bertugas dalam bidang ini dan aku menyedari bahawa kebanyakan duit yang harus dibelanjakan adalah untuk orang Melayu kerana mereka selalu menghadapi masalah kewangan. Aku berasa marah dan keliru kerana bagi aku, kejayaan hanya boleh dicapai hanya dengan usaha bak kata pepatah, ‘jika tidak dipecah ruyung, di mana boleh mendapat sagunya’. Pada pendapatku, orang Melayu kurang atau tidak berusaha untuk menambah pendapatan mereka dan hanya bergantung pada bantuan daripada pemerintah sahaja. Ini tidak adil sama sekali.
“Tuan Khairul, kami sudah sediakan kereta untuk pergi membuat lawatan,“ kata penolong peribadiku, Hisham. Terus mematikan perdebatan di mindaku.
Aku melihat jam tanganku dan menyedari bahawa aku harus meneruskan sesi lawatan ke rumah-rumah keluarga yang memerlukan bantuan. Ah rimas!
Aku tiba di sebuah rumah yang agak sempit. Aku mengerling melihat keadaan rumah tersebut. Aku berasa keliru kerana keadaan mereka kelihatan selesa. Ya, perabotnya tidak kelihatan mewah dan ada sebahagian rumah yang tidak dicat dengan bersih. Namun mataku terus tertumpu pada bahagian ruang tamu. Ada set karaoke yang lengkap dan sebuah televisyen yang agak canggih. Amboi, siap ada aplikasi Netflix lagi. Inikah keluarga yang memerlukan pertolongan?
‘Sebab itulah tak cukup duit! Sudah lah malas!‘ bisikan syaitan mula menghampiri cuping telingaku.
Aku tidak terbiasa dengan keadaan rumah seperti ini. Selama ini, aku selalu diberi tugas di kawasan Bukit Timah, Siglap atau Kembangan dan rumah-rumah mereka selalunya rumah sebuah. Setidaknya pun, rumah kondominium.
“Selamat petang, saya Tuan Khairul, wakil rakyat bagi kawasan ini. Boleh saya tahu dengan lebih lanjut lagi tentang masalah yang dihadapi oleh pihak Encik sekeluarga?” aku bertanya kepada sepasang suami isteri yang menyambutku secara mesra.
Mereka mula menyenaraikan masalah-masalah mereka tanpa henti. Aku membiarkan sahaja mereka bercakap.
“Sebenarnya Tuan...Pendapatan keluarga kami tidak mencukupi kerana kami harus bergantung kepada suami saya. Hanya suami saya seorang sahaja yang bekerja. Saya tidak mampu keluar bekerja kerana harus menjaga anak-anak yang masih kecil ini. Pendapatan suami pun hanya mampu untuk mengisi perut anak-anak setiap hari. Kehidupan kami seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang,” si isteri mula merintih.
Pada mulanya, aku rasa seperti mereka hanya memberi alasan kerana mahu mendapatkan bantuan kewangan. Namun, setelah lebih 30 minit mendengar segala masalah mereka, aku sedar bahawa mereka sebenarnya tiada wang yang mencukupi kerana gaji yang terlalu kecil untuk menampung mereka lapan orang. Walaupun tiga daripada anak mereka sudah pun mendapat bantuan kewangan daripada Kementerian Pendidikan, duit tersebut tidak cukup untuk membantu keluarga mereka. Si isteri juga pernah dibuang kerja kerana beberapa kali terlambat pulang ke tempat kerja selepas tamat waktu rehat makan tengahari kerana dia tergesa-gesa untuk mengambil anak-anaknya dari sekolah.
‘Mungkin mereka ini sebenarnya mampu bekerja keras tetapi jika diberi lebih peluang untuk bekerja dan menentukan sesiapa yang boleh menjaga anak-anak, mereka boleh mencari pendapatan lebih dan sekaligus mengubah nasib keluarga mereka, ’ aku terfikir sendiri.
Aku berjalan dengan perlahan balik ke keretaku. Apabila aku sampai di aras satu bangunan tempat meletak kereta itu, terdapat dua orang warga emas berbangsa Cina dalam lingkungan umur tujuh puluhan tahun. Dengan senyuman yang lebar, mereka datang kepadaku untuk berjabat tangan. Aku pun bertanya khabar mereka.
“Kami baik-baik sahaja lah. Tuan baru saja melawat itu keluarga si Rosita kan? Tadi gua nampak. Bagus Tuan cuba tolong sama itu Roslan. Itu laki bini selalu rajin untuk cari kerja. Kadang mereka ikut gua kumpul barang-barang daripada tong kitar semula. Gua pun dalam keadaan susah juga mah. Sama-sama tolong lah,” salah seorang lelaki tua yang memperkenalkan dirinya sebagai Uncle Ah Kong mula bercerita. Walaupun tidak fasih berbahasa Melayu, aku masih dapat faham apa yang ingin disampaikan beliau.
Fikiranku terhenti seketika, berpintal-pintal lalu kusut dan semakin bercelaru diserangi pelbagai persoalan. Buat pertama kalinya aku sedar bahawa bukan sahaja keluarga Melayu yang memerlukan bantuan tetapi bangsa lain seperti bangsa Cina juga memerlukan bantuan yang sama. Ini merupakan realiti yang tidak pernah aku hadapi
Mungkin aku boleh membentangkan isu ini sewaktu sesi Parlimen. Tetapi, aku takut golongan berpendapatan rendah ini akan menjadi lebih bergantung harap kepada pemerintah sekiranya dibantu dan akhirnya akan menjadi lebih malas.
Patutkah aku merebut peluang ini untuk membantu mereka dan menunjukkan kepada masyarakat yang orang Melayu ini sebenarnya bukan malas tetapi sebenarnya mereka sejujurnya memerlukan bantuan tambahan oleh kami agar dapat keluar dari lingkiran kemiskinan?
Mindaku berserabut memikirkan perkara ini. Aku duduk di kerusi pejabatku dan termenung jauh memikirkan bagaimana aku boleh menolong keluarga-keluarga di estet perumahan Bedok. Terasa bahuku semakin berat memikul tanggungjawab besar ini yang seakan-akan menjadi beban kepada diriku.
“Tuan Khairul, maaf saya buka sahaja pintu. Saya telah mengetuk pintu tetapi Tuan tidak bersuara. Tuan okey?“ fikiranku terganggu tatkala Hisham mula bersuara.
Persoalan demi persoalan bersilih-ganti dan berlegar-legar di ruang benakku. Aku pun cuba meluahkan perasaanku kepada penolong peribadiku. Aku memberitahunya segala perasaan dan kekeliruanku. Aku kini dalam dilema. Aku tahu yang sebagai seorang wakil rakyat, aku harus berusaha sedaya upaya untuk menolong golongan yang memerlukan.
Namun, fikiranku kacau sekiranya pihak pemerintah tidak menerima cadanganku agar Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA) mengadakan skim yuran percuma kepada pusat tajaka. Aku sedar agensi tersebut sudah melancarkan untuk skim mengurangkan yuran tahun yang lalu. Lagipun, mereka mungkin tidak akan menerima cadanganku akibat sistem meritokrasi di Singapura ini. Cadanganku cuma akan memberi faedah orang-orang yang tinggal di estet perumahan ini dan bukan estet lain.
“Walaupun apa keputusan Tuan Khairul, saya pasti Tuan sudah mempertimbangkan segala aspek dan saya tahu Tuan seorang yang berhati mulia,” Hisham mula bersuara.
“Ah pedulikan segala bisikan negatif ini! Saya betul-betul mahu menolong mereka. Saya sedar bahawa selama ini saya mempunyai persepsi yang bangsa Melayu semuanya malas. Terbukti anggapan saya itu salah dan saya mahu menunjukkan kepada orang lain stereotaip ini perlu dicampak ketepi,” aku menyuarakan pendapatku dengan tegas setelah mendengar kata Hisham yang memberikan aku semangat untuk berjuang untuk golongan yang memerlukan.
Lima bulan kemudian...
Aku dan Hisham membuat rondaan di kawasan Bedok untuk melawat lagi keluarga-keluarga yang memerlukan bantuan. Apabila kami lalu kawasan perumahan Encik Roslan, aku ternampak dari jauh isteri Encik Roslan yang sedang menghantar anak-anaknya ke pusat tajaka berdekatan dengan rumah mereka. Aku tersenyum sendiri melihat kanvas wajah isterinya dan anak-anaknya yang terpantul warna-warna kegembiraan.
‘Harap-harap dengan inisiatif yang telah aku kabulkan ini, keadaan keluarga mereka ini akan lebih baik dan mereka tidak akan lagi dipandang sebagai malas lagi,’ bisik hatiku dengan perasaan lega.
“Aku hanyalah manusia biasa
Yang tak pernah lepas dari khilaf
Kumencuba merubah segalanya
Mungkin ada kesempatan”
Aku mendengar lagu yang dinyanyikan oleh kumpulan Radja yang dimainkan melalui radio keretaku. Aku berasa lega sambil menggeleng-gelengkan kepalaku memikirkan memori silam tentang persepsi burukku dahulu terhadap orang Melayu apabila mendengar lagu bertajuk, ‘Manusia Biasa’.
Dahulu, aku fikir stereotaip orang Melayu ini memanglah benar kerana mereka malas bekerja. Kini, aku telah sedar daripada kesalahanku apabila telah dapat melihat dan mendengar sendiri keadaan keluarga-keluarga yang memerlukan bantuan dan mendapati yang bukan hanya kaum Melayu yang memerlukan bantuan walhal kaum lain juga. Mereka yang berpendapatan rendah ini sesungguhnya rajin tetapi sering tersepit dalam lingkiran hidup yang memang susah apabila suara mereka tidak dipedulikan. Oleh itu, aku berasa bersyukur kerana aku tidak melepaskan peluang untuk menolong mereka dan cuba menukar stereotaip orang Melayu ini.