
Iffah Aishah Binte Muhammad Nazri
Madrasah Alsagoff Al-Arabiah
Tempat Ketiga Peraduan Cerpen Bisikan Pena 2023

Genggaman nafsu
​
Sekali lagi, aku menatap wajah itu dalam cermin. Naluriku memberitahu bahawa aku mengenalinya tapi aku masih keliru. Siapakah wajah yang berhadapanku itu?
Tujahan cahaya matahari pagi menampar dada bilik. Semerbak harum pagi kian menyapa dengan iringan bunyi kicauan burung. Dinginnya pagi terus mendorongku untuk bergegas ke sekolah, dilucut selimut yang menghangatkanku semalaman. Kemudian aku menjejakkan kakiku menuju dapur. Melihat ibuku sedang menyiapkan sarapan, sambil tersenyum dia membuka tudung saji penutup makanan. Dua sanwic segi tiga serta ayam goreng telah menantang untuk siap disantapnya. Juga terhidang air minuman kegemaranku, susu unta. Ayahku sudah lama tiada. Aku hanya dengar dari mulut orang yang ayah telah terlibat dalam kemalangan jalan raya dan telah menghembus nafasnya yang terakhir pada saat itu juga.
​
Aku melangkahkan kakiku menuju bilik air dan bergegas mandi. Selepas membilas tubuh, aku pun segera menyelesaikan persiapanku ke sekolah. Aku mengucup kedua tangan orang tuaku, kemudian menyandang beg sekolah yang sudah lusuh dan sekaligus memulakan langkahku ke sekolah baharu.
​
Di sekolah, aku menumpukan seratus peratus pada pelajaran yang diajari. Bukankah ini hari pertama pada tahun ini aku mula persekolahan dengan keadaan yang baharu? Aku harus fokus agar dapat memahami apa yang diajar. Walaupun hidupku bagaikan perahu yang sedang hanyut dibawa arus yang sedang bergelora, aku tidak tenggelam dalam kesengsaraan namun berusaha untuk mendapat kecemerlangan yang memuaskan.
​
Hari pun berlalu dan aku sudah pun mempunyai kawan yang sejati, Latifah. Dia panjang akal. Kelakuan dan peribadinya menjadikanku juga ingin menjadi sepertinya. Aku mula mengulang kaji pelajaranku tak kira penat atau tidak, setiap hari sekurang-kurangnya satu topik. Sejak itulah aku menjadi seorang anak murid yang tajam akal. Setiap kali disoal, aku yang pertama akan menjawabnya.
​
“Aishah, ingat ya, jangan senang putus asa dalam apa jua perkara biarpun kamu harus menangisi nasib hidup yang penuh dengan onak dan duri ini. Walaupun ibu tidak dapat membayar yuran sekolah sekali harung, tapi ibu yakin Aishah akan terus berusaha untuk diri sendiri dan juga masa hadapan Aishah”. Ibu selalu berpesan kepadaku sambil air jernih mengalir di pipinya.
​
Aku hanya menganggukkan kepalaku tanda taat pada ibuku. Aku bukan sahaja mahu kebaikan untuk masa hadapanku malah juga ingin memesrakan ibuku yang sekarang resah dan gusar silih berganti. Bila aku dewasa nanti dan telah mendapat ijazah, aku akan bekerja bertungkus-lumus, menggali duit yang secukupnya untuk bertahan dengan kehidupan yang pahit ini. Dengan gaji yang banyak, ibuku tidak perlu membanting tulang lagi dan boleh berehat lebih. Aku pula akan terus berikhtiar kerana aku tahu rajin dan usaha tangga kejayaan.